Naik taraf Penang Smart Parkir libat pemasangan 21,000 lagi sensor – Jagdeep

GEORGE TOWN – Sejumlah 21,000 lagi unit sensor parkir akan dipasang secara berperingkat sehingga bulan September depan demi menjayakan projek penarafan Penang Smart Parking (PSP) di seluruh negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata Heitech Padu Berhad sebagai firma pengendali sistem pintar tersebut setakat ini telah siap memasang 12,000 sensor di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sementara 3,000 unit sensor lain siap dipasang di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurutnya lagi, operasi menyelenggara sensor, pemasangan papan tanda serta mengecat petak pudar juga akan dilaksanakan sepanjang tempoh naik taraf projek PSP tersebut.

“Aplikasi PSP versi terkini yang memuatkan fungsi navigasi ‘Cari Parkir’ sedang dinaik taraf bagi memastikan tidak berlakunya sebarang kepincangan tugas.

“Sistem PSP bertujuan untuk memudahkan rakyat negeri Pulau Pinang mendapatkan petak tempat letak kereta yang kosong tanpa perlu mencari dalam tempoh masa yang lama.

“Sebanyak 12,000 tempat letak kereta telah digazetkan di kawasan MBPP manakala 24,000 petak letak kereta pula adalah di kawasan MBSP,” jelasnya kepada pemberita selepas meninjau sendiri tapak projek penarafan sistem pintar tersebut di sini pada 13 Mac 2021.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa penggunaan PSP kian meluas dengan jumlah muat turun setakat 11 Mac 2021 adalah sebanyak 562,423 kali.

“Aplikasi ini juga digunakan secara aktif oleh 151,374 pengguna.

“Setakat 11 Mac 2021 juga, PSP telah merekodkan jumlah kutipan tempat kereta sebanyak RM15,389,015.65 bagi kedua-dua majlis dengan pecahan MBPP sebanyak RM11,350,605.85 dan MBSP sebanyak RM4,038,409.80,” jelasnya lagi yang juga ADUN Datuk Keramat.

Justeru, beliau berharap penambahbaikan pada aplikasi pintar tersebut menyumbang kepada usaha mencapai Visi Penang2030 iaitu menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB