Naik taraf Pencawang Masuk Utama Air Terjun mulai 26 Februari – 13 Mac, beberapa kawasan bakal alami gangguan bekalan elektrik sementara – Exco

GEORGE TOWN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan elektrik di Pencawang Masuk Utama Air Terjun 132/33kV (PMU ATJN 132/33kV) mulai tengah malam 26 Februari ini sehingga 13 Mac 2019.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja menaik taraf dibuat bagi memenuhi penggunaan yang semakin tinggi.

ZAIRIL Khir Johari.

“Saya difahamkan sudah 18 tahun pencawang tersebut tidak dinaik taraf dan kerja-kerja menaik taraf akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun,  34 unit set janakuasa mudah alih akan dipasang di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berdaya harap kepada pengguna.

“Notis bercetak pemakluman kerja-kerja menaik taraf pencawang ini akan diserahkan kepada semua pengguna di kawasan-kawasan yang terlibat mulai 21 Februari ini dan notis ini juga boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang TNB> Power Alert pada 21 Februari,” ujarnya pada sidang media di Komtar tengah hari ini.

Menurut Zairil, pemakluman mengenai status terkini kerja-kerja menaik taraf yang melibatkan henti tugas dan gangguan bekalan elektrik sementara juga boleh didapati melalui Facebook TNB CareLine dari masa ke masa.

“Saya percaya TNB akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan semua pihak yang berkaitan semasa kerja-kerja menaik taraf pencawang dilaksanakan, dan ia perlu dilaksanakan demi menjamin keselesaan serta kesejahteraan pengguna di kawasan terlibat pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan (Pulau Pinang), Bahagian Retail TNB, U. Ananda Rani berkata, kerja-kerja akan dilaksanakan secara berfasa.

U. Ananda Rani.

“Fasa 1 adalah pada 26 Februari melibatkan kerja-kerja henti tugas PMU ATJN 132/33kV untuk mengasingkan transformer T4 dari sistem, Fasa 2 pada 28 Februari bagi selenggara, dan 11 Mac sehingga 12 Mac (11:59 malam) menyambung semula transformer T4 ke sistem.

“Semasa Fasa 1 dan Fasa 3, pengguna di kawasan terlibat akan mengalami gangguan bekalan elektrik sementera lebih kurang 15 hingga 30 minit iaitu semasa proses sua balik bekalan dari punca dan pemasangan set janakuasa mudah alih,” jelasnya.

Buat masa ini, PMU ATJN 132/33kV membekalkan elektrik kepada 54,600 pengguna domestik dan komersial di kawasan Air Terjun, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Batu Feringghi, Pulau Tikus, sebahagian kawasan Air Itam dan Jalan Larut.

Maklumat lanjut di Facebook TNB CareLine https://www.facebook.com/TNBCareline/ atau di talian 15454.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS