Sisa pukal & sisa kebun tidak lagi diterima di Tapak Pelupusan Sampah Jelutong mulai 1 Mac

Admin

AIR ITAM – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa Tapak Pelupusan Sampah Jetutong tidak lagi akan menerima sisa pukal dan sisa kebun tulen mulai 1 Mac 2019 ini.

Katanya, kedua-dua sisa berkenaan hanya boleh dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Sungai Burong atau ke Stesen Pemindahan Sampah Batu Maung mengikut kadar bayaran yang telah ditetapkan.

“Tapak Pelupusan Sampah Jelutong kini beroperasi pada tahap melebihi kapasiti yang mengakibatkan berlakunya masalah kestabilan tanah dan isu kebakaran di tapak berkenaan.

Ar. Yew Tung Seang pada sidang media sebentar tadi.

“Bagi mengatasi masalah ini, pihak Majlis membuat keputusan untuk melaksanakan penutupan secara berperingkat mulai 24 Oktober tahun lepas.

“Justeru, semua penjana sisa-sisa ini dinasihati untuk mengurangkan penghasilan sisa berkenaan atau mereka perlu melalui perjalanan yang jauh untuk ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong atau boleh memilih untuk ke Stesen Pemindahan Sampah Batu Maung,” katanya pada sidang media dekat Bukit Bendera, di sini sebentar tadi.

Turut serta, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junos dan Jurutera Jalan dari Jabatan Kejuruteraan MBPP, Raja Syazana Raja Shuib.

Difahamkan, kadar bayaran pelupusan bagi sisa pukal di Stesen Pemindahan Sampah Batu Maung adalah sebanyak RM70 setiap tan manakala di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong pula sebanyak RM22.22 setiap tan.

Bagi sisa kebun tulen pula, kadar bayaran adalah sebanyak RM20/tan bagi Stesen Pemindahan Sampah Batu Maung manakala di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong pula sebanyak RM22.22/tan.

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan, pihak MBPP juga turut meyediakan kutipan sampah pukal bagi kediaman serta komersial dengan kadar bayaran sebanyak RM100 per trip bagi kawasan perumahan dan RM200 (komersial).

Maklumat lanjut mengenai penjadualan kutipan sampah hubungi Jabatan Perkhidmatan Pembandaran MBPP melalui talian 04-282 4284.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING