Naik taraf ruang menunggu stesen atas Bukit Bendera mula tahun depan

AIR PUTIH – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) akan memulakan kerja-kerja naik taraf pakej keempat yang merangkumi penambahbaikan ruang menunggu di stesen atas pada pertengahan tahun depan.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, ruang menunggu di stesen atas kini adalah amat terhad khususnya kepada para pengunjung Bukit Bendera.

“Di upper station (stesen atas), sekarang memang kekangan besar berhubung ruang menunggu yang amat kecil, justeru fasa keempat bakal melibatkan penambahbaikan upper station (stesen atas) bagi menambah ruang berkaitan kepada pelawat yang mahu turun ke kaki bukit.

“Projek ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan 2020 dengan anggaran perbelanjaannya beberapa juta ringgit sebab kita nak pastikan pengalaman para pelancong di sini adalah terjamin.

“Kalau orang ramai perlu tunggu dua tiga jam dalam keadaan yang sesak lebih-lebih lagi apabila hujan, upper station (stesen atas) akan menjadi satu tempat yang ‘kecoh’,” ujarnya ketika sidang media lawatan Pengumunan Selesai Empat Projek Pemulihan dan Penambahbaikan Infrastruktur Bukit Bendera di sini petang tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar dan Pengurus Besar PHC, Dato’ Cheok Lay Leng.


Tambah Kon Yeow, dengan kemudahan ruang  dua tingkat berserta kawasan yang mencukupi dan di sekitarnya seperti astaka serta kafe, kawasan atas boleh menampung kapasiti 2,000 pengunjung.

Dalam lawatan petang tadi, delegasi diketuai Kon Yeow dibawa melawat ke kawasan-kawasan terjejas akibat ribut tropika yang melanda pada November 2017 membabitkan sekitar Bukit Bendera.

Antara projek yang terlibat adalah penstabilan cerun membabitkan empat kawasan tanah runtuh di sepanjang Upper Tunnel Road dan cerun di kawasan kuil Sri Aruroli Thirumurugan, Masjid Bukit Bendera dan Bel-Retiro.

“Projek (Upper Tunnel Road) bermula pada 12 Septemper 2018 dan siap pada 17 Oktober 2019 dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.35 juta,” jelas Kon Yeow yang juga Pengerusi PHC.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa bagi projek di kawasan kuil dan masjid, ianya menelan belanja sebanyak RM2.73 juta dan siap pada 11 Mac 2019.

“Antara kaedah digunakan ialah soil nailing, rubble pitching, gabion wall dan rubber wall,” katanya yang juga Ahli Parimen Tanjong merangkap ADUN Padang Kota.

Tambah Kon Yeow, projek lain termasuk membaik pulih dan menambah baik tangki septik komunal A, B dan C bernilai RM2.47 juta serta projek nurseri tumbuh-tumbuhan di Jalan Tuanku Yahya Petra bernilai RM90,000.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD