PIHH dan HASRAT@USM dijangka lancar modul Halal Pharmacopoiea pertama dunia tahun hadapan

Admin

BATU UBAN – Malaysia dijangka mempunyai modul Halal Pharmacopoiea pertama tahun hadapan melalui kerjasama di antara Penang International Halal Hub (PIHH) dan Halal Studied in Services, Research & Training Universiti Sains Malaysia (HASRAT@USM).

Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian USM, Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata secara asasnya kerja-kerja pembangunan Halal Pharmacopoeia telah dimulakan dimana kini, kerja penambahbaikan sedang dilaksanakan sebelum ia jangka dapat dilancarkan tahun hadapan.

Jelasnya, pembangunan Halal Pharmacopoiea tersebut akan menyenaraikan secara terperinci kategori semua bahan termasuk kimia atau bukan kimia bagi memudahkan pengguna dan pemain industri mengenal pasti produk halal di pasaran.

“Pharmacopoiea akan menyenaraikan semua bahan-bahan yang terdapat dan digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai aspek bidang farmaseutikal.

“Pharmacopoiea ini bukan sahaja untuk Malaysia tetapi pemain industri dan pengguna seluruh dunia yang memerlukan butiran terperinci berkenaan dengan bahan atau barang yang diguna pakai,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dekat Bangunan Canselori USM, semalam.

Sebelum itu, majlis menandatanani MoU masing-masingnya diwakili oleh Pengerusi PIHH yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Naib Canselor USM, Prof. Dr.Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Hadir sama Pengurus Besar PIHH, Mohamad Firhan Ghouse, pegawai-pegawai utama USM dan ahli-ahli kluster HASRAT@USM.

Difahamkan, Modul Halal Pharmacopoiea berkenaan akan diterbitkan secara dalam talian melalui website dan hard copy bagi memudahkan pemain industri dan pengguna dari dalam dan luar negara mengaksesnya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata industri halal negara dalam menawarkan produk dan perkhidmatan halal sudahpun menempa nama di seluruh dunia.

“Kita (Malaysia) sememangnya sudah terkenal dengan produk dan perkhidmatan halal, kita dikenali… dan kelebihan ini harus digunakan untuk mengembangkannya lagi.

“Justeru, dengan pembangunan Halal Pharmacopoiea pertama dunia ini akan menjadikan Malaysia muncul sebagai pemain utama dalam bidang ini,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD