Naik taraf sistem parit, jalan raya di Jalan P. Ramlee telan belanja RM3.256 juta – Jagdeep

DATUK KERAMAT – Projek penarafan sistem perparitan dan jalan raya dekat Jalan Sungai Pinang yang menelan belanja RM3.256 juta mula dilaksanakan pada bulan Ogos 2020 dan dijangka siap pada Ogos 2021.

Mengumumkan perkara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap projek penarafan tersebut dapat mengurangkan lagi risiko banjir di kawasan berkaitan.

“Saya berasa begitu gembira kerana salah satu projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Jalan P. Ramlee pada hari ini, merupakan projek terbesar yang dilaksanakan pada tahun ini (2020) dan dijangka siap pada tahun depan (2021) iaitu projek pelebaran sistem perparitan di kawasan ini sehingga Jalan P. Ramlee.

“Projek ini sendiri merangkumi kerja-kerja penarafan sistem perparitan serta meninggikan paras jalan raya sedia ada.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sememangnya prihatin dengan membuat apa jua yang perlu dan boleh di negeri ini,” jelasnya semasa melawat ke tapak projek penarafan sistem perparitan dan jalan raya dekat Jalan P. Ramlee di sini baru-baru ini.

Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), A. Rajendran turut menyertai sidang media ringkas tersebut.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa kos keseluruhan untuk melaksanakan RTB Sungai Pinang adalah sebanyak RM650 juta dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini telahpun meluluskan peruntukan RM150 juta untuk pelaksanaan projek berfasa tersebut.

“RTB dengan peruntukan terbesar di seluruh negara adalah di Sungai Pinang.

“Saya begitu gembira kerana dalam perbentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (bagi tempoh 2021-2025) telahpun meluluskan peruntukan untuk projek RTB ini.

“Justeru, ingin saya menjelaskan kepada semua pihak bahawa projek dalam perancangan pelaksanaan dan kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat saling bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Rajendran memberitahu bahawa projek penarafan bernilai RM3.256 juta tersebut meliputi kerja-kerja pemasangan empat pam dan dua rumah pam saluran air ke Sungai Jelutong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : PEJABAT EXCO