Naik taraf titi Kuala Jalan Baru mudahkan 1,000 penduduk setempat

Admin

PULAU BETONG – Projek naik taraf tiga titi berhampiran Kuala Jalan Baru dekat Balik Pulau bernilai RM163,924 bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Perasmian projek menaik taraf disempurnakan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik baru-baru ini.

“Ini merupakan salah satu daripada projek di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) yang diperuntukkan kepada semua Ahli Parlimen dan kita akan pastikan ia digunakan untuk manfaat rakyat secara keseluruhan.

“Buat masa ini, kita fokus untuk baik pulih kemudahan di sekolah-sekolah kerana di kawasan Barat Daya kita terima banyak permintaan daripada pihak sekolah seperti masalah tandas dan bumbung bocor serta banyak lagi.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Lepas misalnya sudah lama memohon projek laluan berbumbung (gajah menyusu) tetapi sehingga kini projek berkenaan masih belum berjalan,” ujarnya lagi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Jurutera Daerah bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Barat Daya, Hashim Abdullah dan Penghulu bagi Kawasan Balik Pulau, Mohd. Farouk Varusai Mohd.

Dalam pada itu, Mohd. Farouk memberitahu bahawa projek naik taraf titi tersebut adalah melibatkan kerja-kerja meninggikan jambatan sedia ada bagi kemudahan keluar masuk penduduk di Kuala Jalan Baru.

“Apabila hujan, titi di sini akan ditenggelami air, jadi kita bimbang keselamatan penduduk terutamanya yang menggunakan motosikal,” jelasnya lagi.

 

Difahamkan, kawasan Balik Pulau menerima peruntukan berjumlah RM10 juta daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini bagi melaksanakan projek-projek tebatan banjir.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI