Program tuisyen rakyat bantu tingkat pencapaian pelajar UPSR – PEKA

Admin

GEORGE TOWN – Program Tuisyen Rakyat anjuran kumpulan Penggerak Komuniti Muda Pulau Pinang (PEKA) berjaya meningkatkan pencapaian kira-kira 20 peratus pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengurus Pembangunan Kapasiti PEKA, Mohammad Hazizi Padzil berkata, peratusan tersebut diperoleh selepas menjalankan analisis dengan membandingkan keputusan antara peperiksaan akhir tahun pelajar dan keputusan percubaan UPSR yang lalu.

Mohammad Hazizi Padzil menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang guru yang terlibat secara langsung dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di pusat tuisyen rakyat pada tahun ini. 

“Analisis PEKA mendapati bahawa sebanyak 20 peratus peningkatan bersih pencapaian gred dalam kalangan pelajar UPSR yang menyertai program Pusat Tuisyen Rakyat.

“Selain itu, analisis ini juga menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow begitu komited dalam meningkatkan keupayaan mobiliti sosial pelajar-pelajar khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita akan melakukan analisis seterusnya untuk melihat perbezaan keputusan percubaan dengan keputusan sebenar UPSR yang dijangka diketahui pada 21 November ini,” katanya dalam kenyataan bertarikh 16 November lalu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PEKA juga menganjurkan majlis bagi menghargai 60 orang guru yang terlibat secara langsung dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di pusat tuisyen rakyat pada tahun ini.

“Guru-guru PEKA terdiri daripada guru sekolah yang berpengalaman dan juga guru tuisyen sepenuh masa.

“Justeru, majlis yang diadakan ini bertujuan menghargai dan meraikan semua guru yang telah berusaha untuk memastikan anak-anak watan Pulau Pinang di sekolah rendah dan menengah mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan terutamanya bagi subjek matematik, sains dan bahasa Inggeris,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : PEKA