Naiktaraf 11 lagi pasar awam menjelang 2014 – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menjangkakan 11 buah lagi pasar awam di sekitar Seberang Perai akan siap dibaik pulih serta dinaik taraf menjelang tahun 2014.

“Pasar Awam Sri Bandar ini telah dibina pada awal tahun 80-an, tetapi, tidak pernah dinaik taraf sehinggalah MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) mendapat peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk membaik pulih (memperbaharui) Pasar Awam Sri Bandar dan juga dua pasar awam lain.

“Sebanyak 23 pasar awam juga telah menjalani pembaikan kecil dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Dijangka, ada 11 buah pasar awam lagi akan dibaik pulih dan dinaik taraf menjelang tahun 2014,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pembukaan Semula Pasar Awam Sri Bandar di sini baru-baru ini.

Yang di-Petua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis rasmi itu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan, Michael Tan Cheong Heng (Ahli Majlis bagi MPSP) dan Arshad Md. Salleh (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Permatang Berangan).

Guan Eng menjelaskan, Kerajaan Negeri pada tahun 2011 memperuntukkan RM10  juta untuk menaik taraf pasar-pasar awam meliputi ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

Dari jumlah itu, beliau berkata, RM5 juta untuk menaik taraf 21 pasar awam, manakala, baki RM5 juta lagi diperuntukan untuk memperbaharui tiga buah pasar lain.

Tiga buah pasar yang diperbaharui itu adalah Pasar Awam Sri Bandar dekat Seberang Perai Utara (SPU), Pasar Awam Samagagah dekat Seberang Perai Tengah (SPT) dan Pasar Awam Taman Berjaya dekat Seberang Perai Selatan (SPS).

Projek pembaharuan Pasar Awam Sri Bandar menelan peruntukan sebanyak hampir RM1.9 juta (RM1,894,674.55) peruntukan Kerajaan Negeri.

Kerja-kerja pembaharuan pasar itu bermula pada 1 Jun 2012 dan siap sepenuhnya pada 19 Disember lepas.

Pasar awam itu menyediakan 131 unit gerai, dilengkapkan dengan sistem ‘greasetrap’, iaitu sistem perangkap sampah berpusat demi melestari kebersihan di situ.

Itu, tidak termasuk kemudahan tiga tandas lelaki, tiga tandas perempuan serta satu tandas khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Bumbung setinggi lebih 20 kaki untuk tujuan pengudaraan selesa serta bangunan mesra OKU merupakan antara elemen istimewa pada projek pembaharuan Pasar Awam Sri Bandar tersebut.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, langkah Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta itu antara lain untuk menyelamatkan MPSP sendiri yang dikatakan hampir bankrap, iaitu semasa Kerajaan Negeri baru berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat pada bulan Mac 2008.

“Sebelum (tahun) 2008, MPSP tidak pernah melaksanakan kerja-kerja naik taraf kerana MPSP sendiri semasa itu hampir bankrap.

“(Bagaimanapun), bagi prestasi kewangan tahun 2013 ini, saya difahamkan, MPSP telah memperoleh pendapatan sebanyak RM177.9 juta, manakala, perbelanjaan MPSP pula adalah sebanyak RM172.3 juta.

“Ini bermakna, MPSP terus mengekalkan rekod surplas sepanjang lima tahun ini dengan lebihan pendapatan sebanyak RM5.6 juta,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada ‘pasukan’ Maimunah.