Naiktaraf Kompleks Makanan Padang Brown lengkap bersurau

Admin
LAKARAN artis yang menunjukkan rupa bentuk baru kompleks yang dijangka siap pada Mac 2015.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

DATUK KERAMAT – Para peniaga dan pengunjung beragama Islam melahirkan rasa syukur berikutan kemudahan surau yang turut dilengkapkan dalam projek menaiktaraf Kompleks Makanan Padang Brown oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini.

Rata-rata peniaga yang ditemui menyambut baik pengimplementasian tersebut termasuk inisiatif menaiktaraf kompleks makanan yang tidak pernah dinaiktaraf sejak tahun 1965.

Bagi Masayu Majid, 30, yang menjalankan perniagaan di sini, beliau amat tertarik apabila dikhabarkan bahawa sebuah surau turut akan dibangunkan di kawasan tersebut.

“Selalu pelanggan tanya surau di mana?

“Saya jadi segan nak jawab sebab tiada surau dan secara tak langsung ia melahirkan persepsi negatif kata (bahawa) kami (peniaga) tidak sembahyang.

“Kebiasaannya, saya terpaksa sembahyang dalam kereta kerana tiada kemudahan surau dibekalkan di sini,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Bagi salah seorang peniaga minuman, Khuraisha Omar Khatab, 39, menyatakan rasa syukurnya apabila dimaklumkan mengenai inisiatif penaiktarafan berkenaan.

“Saya bersyukur, sekurang-kurangnya pelanggan tidak perlu lagi berlari ketika hujan. Paling sedih bila tengok sambil berdiri pun mereka habiskan makanan.

“Dalam pada itu, saya juga berharap bumbung dapat ditinggikan untuk mengelakkan bola dari padang bersebelahan masuk ke dalam tempat makan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Perasmian Pelaksanaan Projek Naiktaraf Kompleks Makanan Padang Brown baru-baru ini menzahirkan harapan supaya inisiatif penaiktarafan yang sedang bermula tersebut mampu membantu para penjaja menaikkan mutu kehidupan masing-masing.

“Ini merupakan satu usaha yang perlu dilakukan ekoran peningkatan kos sara hidup kian meruncing sejak kebelakangan ini.

“Kenaikan harga barangan tidak boleh dijadikan satu alasan kepada MPPP untuk tidak melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf kompleks makanan di dalam pulau ini demi kepentingan para penjaja serta peniaga,” ucap beliau.

Kerja-kerja menaiktaraf kompleks bernilai RM2,620,110.40 tersebut bakal merangkumi 33 gerai makanan dan minuman halal, makanan dan minuman tidak halal (24), tandas awam lelaki, wanita serta orang kurang upaya (OKU), bilik khas untuk menyusu, surau, laluan basikal serta kerja-kerja landskap.

Melalui tender terbuka dilaksanakan MPPP, Syarikat Arza Aktif Enterprise merupakan pihak berjaya dilantik untuk menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kompleks berkenaan.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye.

Menurut Guan Eng, bagi memberi laluan kerja-kerja naiktaraf yang dijangka siap pada Mac 2015, para peniaga dipindahkan ke gerai sementara di lokasi berhampiran.

Sementara itu, tahun lalu, MPPP juga telah menaiktaraf Padang Datuk Keramat yang terletak bersebelahan kompleks makanan terbabit.

Dengan peruntukan kos RM900,000, padang terbabit telah dibuka pada September tahun lalu untuk digunakan sepenuhnya pihak persatuan, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan serta agensi kerajaan bagi penganjuran semua aktiviti sukan terutamanya bola sepak.