Pengembirian efektif atasi haiwan dizalimi

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Pengembirian efektif anjing dan kucing yang dijalankan sebuah badan sukarela, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) mampu mengawal populasi spesis haiwan berkenaan yang tidak terkawal di sini. Dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), SPCA kini menjalankan proses pengembirian di pusat jagaan SPCA di Berapit, Seberang Perai Tengah (SPT) dan cawangannya di Pejabat Cawangan MPSP Jalan Betek, SPT di sini.

Umumnya, kaedah pengembirian kini menjadi satu penyelesaian alternatif bagi mengawal pembiakan anjing dan kucing di samping menyelamatkan ia dari terus berhadapan dengan kezaliman manusia.

Menurut Presiden SPCA, Tan Kah Chuah, banyak anjing dan kucing yang berkeliaran terutama di pasar-pasar dizalimi dan ‘didera’.

“Saya terkilan melihat ada dalam kalangan kita (manusia) menyiram air panas ke atas badan kucing untuk menghalau ia dari meminta makanan,” katanya ketika ditemui di pusat pengembirian SPCA di sini baru-baru ini.

Hadir menyaksikan prosedur pengembirian adalah Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif.

Menurut Kah Chuah, dengan polisi persatuan, ‘No Kill’, haiwan yang dijaga di SPCA tidak akan dibunuh.

Namun, SPCA hanya mampu menampung sehingga 200 ekor anjing dan kucing dalam satu-satu masa sahaja.

“Jangka hayat seekor anjing dan kucing adalah sekitar 10 hingga 15 tahun, namun, kebiasaannya kucing hidup lebih lama dari anjing.

“Seekor anjing betina mampu beranak dua kali setahun manakala seekor kucing betina pula mampu beranak sehingga tiga kali setahun,” jelas Kah Chuah.

Beliau memberitahu, pembiakan yang tidak dikawal akan menyebabkan pertambahan haiwan liar dari semasa ke semasa yang kemudian memaksa ia dibunuh pihak berkuasa tempatan (PBT) ekoran aduan umum.

Ketika ini, jelas beliau, dengan bantuan MPSP, sebanyak 812 ekor anjing dan kucing (78) telah dikembirikan sejak program tersebut dilaksanakan pada 2008.

“Caj proses pengembirian SPCA adalah lebih rendah berbanding pihak swasta iaitu hanya membabitkan keperluan haiwan dan ubat-ubatan sepanjang proses berkenaan.

“Caj bagi pengembirian anjing jantan adalah RM120 dan betina (RM150), manakala bagi kucing, caj adalah RM120 bagi kedua-dua jantina,’’ kata Kah Chuah.

Beliau memberitahu, kepada mereka yang ingin membeli haiwan di SPCA, setiap seekor anjing dan kucing (tanpa mengira jantina) adalah berharga RM50.

Bagi maklumat lanjut, layari http://www. spca-sbgperai.org.my/ atau hubungi Kah Chuah di talian 012 – 552 3447.