Naiktaraf Pasar Chowrasta dijangka mula awal 2013

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNSelepas beberapa proses mendengar cadangan daripada pihak peniaga dan orang ramai yang dibuka pada awal Ogos lalu, cadangan untuk menaiktaraf kompleks Pasar Basah Chowrasta di sini dilihat semakin lancar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yow berkata, lanjutan daripada maklum balas serta cadangan yang dikumpul, pelantikan syarikat perunding telah dibuat bagi tujuan pengimplementasian projek.

“Dari 4 Ogos hingga 6 Ogos lalu, lebih daripada 40 wakil tarmasuk perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Penang Heritage Trust (PHT), orang ramai dan para peniaga telah memberikan maklum balas.

“Lanjutan itu, maklum-maklum balas tersebut akan dikumpul dan dibahagikan kepada dua kategori.

“Kita (jawatankuasa dilantik) cuba menyesuaikan idea serta pandangan semua yang berkepentingan dengan reka bentuk baru yang bakal dibangunkan. Ini juga merangkumi cadangan terakhir dalam pembangunan Pasar Basah Chowrasta,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Sejajar dengan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menaiktaraf Pasar Basah Chowrasta menjadi ikon “Central Business District” di sini.

Malah, projek yang menelan belanja antara RM10 juta hingga RM12 juta itu dapat dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mempunyai lebihan belanjawan selain keuntungan yang diperoleh daripada Majlis Perbadaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Tambah Kon Yeow, tender bagi pelaksanaan projek terbabit mungkin dibuka pada Oktober ini dan projek dijangka dapat dimulakan pada awal tahun 2013.

“Konsep tender terbuka akan dijalankan bagi projek ini dan pembida dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini pada laman akhbar-akhbar tempatan dan laman sesawang Kerajaan Negeri, penang.gov.my,’’ jelas beliau.

ANTARA pihak awam yang meneliti projek naiktaraf Pasar Basah Chowrasta di sini baru-baru ini.
ANTARA pihak awam yang meneliti projek naiktaraf Pasar Basah Chowrasta di sini baru-baru ini.