Negara tidak maju jika wanita dipinggirkan – Exco

GEORGE TOWN – Negara tidak akan maju sekiranya partisipasi golongan wanita dipinggir dan tidak dilibatkan secara bersama dalam agenda pembangunan, kata Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Atas dasar itu, menurutnya, Kerajaan Negeri hari ini sentiasa mengambil langkah-langkah substantif serta proaktif ke arah kesaksamaan dan kesetaraan jantina.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan mencapai pembangunan lestari jika kaum wanita yang merangkumi sebahagian daripada populasi Pulau Pinang dan Malaysia tidak dilibatkan secara bersama dalam agenda pembangunan negara.

“Buktinya, bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita di negeri ini telah meningkat sebanyak 100 peratus dari tiga ADUN pada tahun 2008 kepada enam (2013).

“Begitu juga bilangan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) wanita yang meningkat dari empat orang pada tahun 2015 kepada lapan (2016).

“Serentak itu, Pulau Pinang juga memiliki Datuk Bandar bagi MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan Yang di-Pertua bagi MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) yang merupakan antara wanita hebat menerajui kepimpinan PBTPBT berkaitan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar, Patahiyah Ismail, Pengarah Program Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Karen Lai Yu Lee dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu, sejajar dengan tema ‘Bersama Jaminkan Kesaksamaan’, empat teras utama akan diberikan tumpuan bagi mencapai matlamat dinyatakan.

“Pertama adalah membantu wanita mencapai cita-cita dan potensi penuh; Kedua, keseimbangan gender atau jantina dalam aspek kepimpinan; Ketiga, menghormati serta menghargai perbezaan gender dalam keluarga, tempat kerja dan komuniti dan keempat, membina budaya hormat serta mengekang keganasan terhadap wanita,’’ jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, bersempena sambutan hari istimewa berkaitan, ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim telah mengedarkan 1,000 kuntum bunga teluki kepada pengunjung serta peniaga wanita di Pasar Kampung Naran, Pasar Bukit Gedung, Pasar Sungai Ara dan Pasar Awam Bayan baru-baru ini.