Juara Piala Khir Johari terima insentif penghargaan RM14,000

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

BATU UBAN – Selepas 54 tahun penantian, Pasukan Sepak Takraw Pulau Pinang (PSTPP) baru-baru ini berjaya merangkul kejuaraan Piala Khir Johari, iaitu piala paling berprestij di peringkat kebangsaaan.

Susulan itu, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng menyampaikan insentif penghargaan berjumlah RM14,000 kepada pemain, jurulatih dan pengurus pasukan negeri peruntukan daripada PSTPP.

“Kerajaan Negeri tidak pernah dan tidak akan mengetepikan PSTPP walaupun Presidennya (Datuk Ahmad Ismail) merupakan pemimpin parti politik berlainan.

“Inilah semangat kesukanan yang kita maksudkan dengan tidak mencampurkan urusan politik dan sukan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu berkata demikian dalam satu Majlis Penyampaian Insentif Penghargaan PSTPP kepada pemain di Kompleks Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah MSNPP Frederick Tan Teck An, B.C Cheah (Timbalan Pengerusi II MSNPP) dan Jeffari Abd. Malek (Pengurus Pasukan).

Di sebalik kejayaan itu, Ahmad memberitahu bahawa beliau sendiri mengambil langkah berani dengan merombak pasukan negeri dari segi pemilihan pemain serta barisan jurulatih.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama erat dan kesungguhan pemain, kita berjaya menamatkan kemarau panjang ini di mana satu ketika dahulu kita juga jaguh sepak takraw,” ujarnya.

Manakala, Ketua Pasukan, Mohamad Fazil Mohd. Asri, 26, pula melahirkan rasa bangga kerana kejayaan tersebut sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang.

Beliau merupakan pemain kelahiran Permatang Pauh yang juga pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian (sekolah sukan).

Seawal usia 13 tahun, Mohamad Fazil tidak menoleh ke belakang lagi apabila kerap mewakili sekolah, kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Pulau Pinang semenjak tahun 2006, 2008 dan 2010.

Di peringkat antarabangsa, empat kali berturut-turut beliau membawa pulang pingat perak selepas beraksi dalam Sukan SEA 2009, 2011, 2013 dan 2015.

Rakan sepasukannya, Mohammad Syahir Mohamad Rosdi yang juga pelajar SMK Mutiara Impian turut melahirkan rasa teruja kerana secara peribadi sekali lagi menjulang nama Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa.

Difahamkan, pemain berketinggian 189 sentimeter berkenaan sebelum ini dilihat memainkan peranan penting menewaskan seteru utama, Thailand dalam Kejohanan Super Series Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Melaka.

Kini, pasukan negeri sedang membuat persiapan menghadapi Kejohanan Grad Prix Kebangsaan, mulai April ini.

Pasukan negeri baru-baru ini merangkul kejuaraan selepas menundukkan pencabar dari Selangor, dengan kemenangan 2-0.

Kali terakhir PSTPP menjulang Piala Khir Johari adalah pada tahun 1962, selepas menewaskan pasukan Singapura di Stadium Negara.