Negeri Berkebajikan, semua lapisan rakyat nikmati hasil negeri secara sama rata

SEBERANG JAYA – Sejak 2011, Kerajaan NegeriPulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM484,000 bagi menjaga kebajikan pelajar-pelajar kurang mampu peringkat rendah dan menengah membabitkan Parlimen Bagan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merangkap Ahli Parlimen kawasan berkaitan.

Menurutnya, sebagai sebuah ‘Negeri Berkebajikan’, Kerajaan Negeri mahukan semua lapisan rakyat untuk sama-sama menikmati hasilnya secara sama rata.

“Kalau mana-mana pihak perlukan bantuan, kita (Kerajaan Negeri) akan sedaya-upaya menolong berikan bantuan.

“Dan program sumbangan hari ini adalah sebahagian daripada usaha ini, yang mana kita (Kerajaan Negeri) berikan kepada pelajar-pelajar di Parlimen Bagan,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar-pelajar Kurang Mampu Parlimen Bagan di sini 4 Februari lalu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng; Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) dan A. Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam).

Guan Eng berserta kepimpinan Kerajaan Negeri meluangkan masa hampir satu jam menyampaikan sumbangan wang tunai RM100 kepada 660 pelajar membabitkan 22 sekolah peringkat Parlimen Bagan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM66,000.

Ke arah melahirkan pelajar cemerlang, beliau turut memberikan kata-kata nasihat agar pelajar-pelajar berkenaan terus berusaha, kerana melalui pendidikan sahaja akan melahirkan individu berjaya.

“Jangan leka, jangan putus asa kerana sudah tentunya guru-guru senantiasa ada untuk membantu anda, dan yang lebih penting jangan sesekali lupakan ibu bapa yang banyak membimbing anda.

“Kerajaan Negeri mahukan anda berjaya.. kita (Kerajaan Negeri) telah sediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan anda berjaya seperti sumbangan Pelajar Emas untuk pelajar tahun satu dan empat serta tingkatan satu dan empat.

“Malah, jika berjaya diterima kemasukan ke universiti kelak, wang sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada anda,” ujar Guan Eng.