Risalah kempen PRU, Exco cabar buktikan unit rumah PR1MA, kelulusan TP1M

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING

DATUK KERAMAT – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyelar tindakan pihak pembangkang Pulau Pinang yang dipercayai bertindak mengelirukan rakyat dengan menyebarkan berita palsu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14).

Menurut Jagdeep, melalui risalah kempen pilihan raya bertajuk ‘Inisiatif, Peruntukan Dan Ikhtiar Murni Kerajaan Persekutuan Demi Mensejahterakan Rakyat Pulau Pinang (Pencapaian Tahun 2008-2017)’ yang mula diedarkan kepada umum sejak tahun lalu menyatakan bahawa pihaknya (Barisan Nasional, BN) melalui Program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) sedang dalam rangka pembinaan 16,569 rumah mampu milik di negeri ini.

“Malangnya, hasil semakan rekod daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), projek PRIMA yang diluluskan sehingga kini hanya di dua lokasi iaitu Kampung Kastam, Bukit Gelugor sebanyak 1,823 unit dan Batu Ferringhi (1,248).

“Itupun, 3,071 unit (Kampung Kastam dan Batu Ferringhi) masih belum mulakan proses pembinaan pun.

“ Saya ingin mencabar BN terutamanya Umno untuk menunjukkan di manakah semua 16,569 unit rumah mampu milik PRIMA yang dimaksudkan mereka yang sedang dalam pembinaan di negeri ini?,” tegasnya pada sidang media pengumuman menggantikan tangki air dekat Medan Ria, Jalan Samak di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, untuk Pulau Pinang, maklumat dan berita ‘benar’ lebih utama berbanding palsu, justeru rakyat perlu bijak menilai di antara kenyataan tidak berasas dan berita palsu yang dikhuatiri menjadi alat permainan pihak tidak bertanggungjawab demi menutup kelemahan mereka.

“Di pihak Kerajaan Negeri, sebanyak 24,227 unit rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) telah dibina sepanjang tahun 2008 hingga 2017 berbanding kerajaan terdahulu, hanya 5,154 unit (tahun 1999 hingga 2007).

“Manakala, 17,686 unit rumah mampu milik di antara kos RM42,000 hingga RM300,000 sedang dalam proses pembinaan dan 32,248 pelbagai jenis (KR, KSR dan mampu milik) juga telah diluluskan untuk dibina.

“Ini adalah realiti dan komitmen Kerajaan Negeri kepada rakyat Pulau Pinang,” ujarnya kepada pemberita.

Di Medan Ria, Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) memperuntukkan RM105,915.20 daripada nilai keseluruhan RM132,394 bagi menggantikan tangki air utama di dua blok kawasan tersebut, manakala, bakinya (RM26,478.80) ditanggung penduduk.

Mengulas lanjut berhubung tabung penyelenggaraan di bawah Kerajaan Persekutuan iaitu Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M), Jagdeep memberitahu bahawa sejumlah 29 projek sahaja diluluskan daripada 143 permohonan yang dikemukakan Pulau Pinang.

“Mereka (BN) sekali lagi menyebarkan berita palsu mengatakan bahawa sebanyak 59 projek TP1M telah diluluskan dari tahun 2012 hingga 2016 bagi menambah baik kualiti perumahan KR dan KSR di Pulau Pinang membabitkan RM24.5 juta.

“Di manakah baki 30 projek yang dinyatakan? Ia sama sekali tidak sama dengan rekod kita,” jelas beliau.