Negeri berpengalaman 30 tahun anjur perlumbaan perahu naga – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NAZLEEN NAJEEB

TELUK BAHANG – Pesta Perlumbaan Perahu Naga yang berlangsung pada 6 hingga 7 Disember lalu merupakan antara acara tahunan berprestij terutamanya buat peminat sukan air dari dalam dan luar negara di sini.

Pesta sukan air tersebut merupakan penganjuran kali kedua tahun ini (2014) selepas penganjuran Festival Perahu Naga Kebangsaan Pulau Pinang 2014 Ke-35 yang berlangsung di lokasi sama pada Jun lalu.

Exco Pembangunan Pelancongan merangkap Pengerusi Pesta Perlumbaan Perahu Naga, Law Heng Kiang berkata, Pulau Pinang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penganjuran berkaitan.

Menurut beliau, penyertaan diterima saban tahun pada setiap kali penganjuran tidak pernah mengecewakan.

“Pada tahun ini, lebih 40 pasukan dari dalam dan luar negara turut serta.

“Pasukan yang berada di sini bukan sahaja bertujuan mengambil bahagian dalam perlumbaan, malah, bagi menikmati keunikan berada di Pulau Pinang yang kaya dengan warisan budaya, alam sekitar dan masakan terkenal di dunia,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pesta Perlumbaan Perahu Naga 2014 di Empangan Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Buat pasukan wanita dari Iran, Avash Persian Gulf yang julung kali menyertai perlumbaan berkenaan menganggap ia benar-benar memberikan satu pengalaman baru.

Ketua pasukannya, Azam Daneshvar, 31, memberitahu, melalui pengalaman ditimba sempena penganjuran kali ini, pasukan beliau pasti bakal menyertai semula perlumbaan tersebut pada tahun hadapan.

“Perlumbaan di sini sangat mengujakan dengan penyertaan yang ramai, ditambah pula dengan persekitaran yang menarik.

“Kami pasti kembali ke sini tahun hadapan,” ujar Azam.