Produktiviti & inovasi kunci ekonomi pendapatan tinggi – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Produktiviti dan inovasi adalah kunci kemakmuran. Untuk beralih menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kita perlu melangkaui model faktor didorong pertumbuhan dan memberi tumpuan kepada produktiviti serta inovasi, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan Persidangan Perindustrian Pembuatan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata, satu strategi lebih mampan diperlukan bagi menjana perubahan ekonomi.

“Beberapa cabaran utama yang kita hadapi termasuklah pelaburan infrastruktur dan melabur dalam modal insan bagi melahirkan pekerja berkemahiran tinggi serta profesional demi melaksanakan produktiviti pada skala yang lebih luas.

“Transformasi ekonomi kita tidak boleh dicapai hanya dengan mengubah struktur, tetapi, perlu juga ada perubahan besar dalam sikap rakyat termasuk pengetahuan untuk pembangunan.

“Kita perlu mengubah cara pemikiran (kita) untuk meningkatkan produktiviti pekerja, inovatif serta aktiviti kadar pertumbuhan dalam semua sektor,” ujarnya di hadapan kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada perunding dan pemimpin industri.

Persidangan Perindustrian Pembuatan julung kali dianjurkan terbabit menjadi platform kepada pemimpin industri dan perunding untuk berkongsi idea-idea kejayaan serta pengetahuan.

Malah, pada masa sama, juga boleh mendapatkan wawasan baru berhubung trend terkini industri tempatan dan antarabangsa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Tambah Guan Eng, pada tahun 2013, sektor pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan Pulau Pinang.

“Sektor pembuatan berkembang pada kadar 3.5 peratus.

“Manakala, sektor perkhidmatan mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5.8 peratus,” ujar beliau.