Negeri diharap jadi hab pembuatan Hijau negara

NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Pulau Pinang menjadi hab pembuatan Hijau Malaysia di rantau ini melalui infrastruktur, kemudahan, susun atur dan operasi dalam menangani isu-isu pengurangan pelepasan gas rumah hijau, bahan cemar lain dan pengurusan tenaga serta air.

Katanya, belaiu berharap skop Eko-Bandar Pulau Pinang bukan hanya akan meliputi perancangan bandar hijau serta pengurusan sisa bersepadu dengan objektif mencapai corak mampan pengeluaran dan penggunaan, tetapi diperluaskan dengan merangkumi amalan 3R, perancangan hijau, pembelian hijau, penggunaan yang cekap dan pemuliharaan sumber asli (bahan mentah, tenaga dan air) serta kawalan pelepasan udara.

“Kerajaan Negeri berharap negeri bakal memainkan peranan penting serantau dan antarabangsa dengan pelaksanaan projek ekobandar
untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan dalam konteks lebih luas ke arah ekonomi hijau dan pertumbuhan hijau,” katanya pada Majlis Perasmian Kajian dan Bengkel Perancangan Eko-Bandar 2012 di sini baru-baru ini.

Bengkel tiga hari yang memberi pengiktirafan kepada Pulau Pinang sebagai pusat tempat latihan negara-negara jiran tersebut dianjurkan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Program Alam Sekitar (UNEP)/Pusat Teknologi Alam Sekitar Antarabangsa (IETC).

Malah, dengan penyertaan 150 peserta dari dalam dan luar negara, penganjuran bengkel tersebut turut memperoleh kerjasama Pusat
Alam Sekitar Global (GEC), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Penang Institut.

Hadir sama, Exco Kesihatan,Kebajikan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sahriff, Pegawai Kanan Projek GEC, Hiromu Takata, Pegawai Program UNEP/ IETC, Dr. Mushtaq Ahmed Memon dan Pengarah Bahagian Projek GEC, Kenji Shiraishi.

Menurut Guan Eng, penglibatan Pulau Pinang dalam proses eko bandar telah bermula sejak tahun 2004 dan berterusan sehingga hari ini.

“Pulau Pinang komited ke arah kelompok perindustrian dan satu pendekatan proaktif untuk menjadi sebuah bandar mesra alam, menyediakan peluang baik untuk pertumbuhan industri secara alam sekitar dengan menggunakan konsep eko-pekan dan menggalakkan penggunaan sumber, pengurangan sisa pepejal serta pertukaran antara industri.

“Kami (Kerajaan Negeri) mahu memperkenalkan penanda aras antarabangsa untuk menangani isu-isu alam sekitar, kebersihan, jenayah dan kesesakan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan pelabur, destinasi pilihan bagi pelancong serta pelawat dan habitat pilihan untuk kehidupan yang mapan,” jelasnya.

Persembahan menarik oleh ahli-ahli pasukan Pandu Puteri bersempena majlis Perasmian Kajian dan bengkel Perancangan eko-bandar 2012 di sini baru-baru ini.
Persembahan menarik oleh ahli-ahli pasukan Pandu Puteri
bersempena majlis Perasmian Kajian dan bengkel Perancangan
eko-bandar 2012 di sini baru-baru ini.