Negeri jaguh pelaburan diraikan konsert percuma Ning Baizura

Admin
AKSI Ning Baizura ketika mendendangkan lagu bagi meraikan Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan Malaysia.
AKSI Ning Baizura ketika mendendangkan lagu bagi meraikan Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan Malaysia.

BAYAN BARU – Kejayaan Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan Malaysia telah diraikan bersama rakyat dengan sebuah penampilan khas oleh artis bersuara soprano, Ning Baizura pada 12 Mac lalu bertempat di Penang International Sports Arena (PISA) di sini.

Konsert percuma yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri ini merupakan sebuah hadiah tanda penghargaan kepada seluruh warga negeri yang turut memainkan peranan serta menyumbang kepada kejayaan ini.

Warga Pulau Mutiara sememangnya patut diraikan kerana telah bersama memacu kejayaan sehingga telah tersenarai sebagai negeri yang paling banyak menyumbang dalam pelaburan di Malaysia.

Buat pertama kalinya pada tahun 2010, Pulau Pinang mendapat tempat pertama di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM12,238 juta berbanding dengan RM2,165 juta pada tahun 2009.

Peningkatan sebanyak lima kali ganda ini adalah jumlah yang paling besar dalam sejarah negeri sekali gus mewujudkan 21,600 peluang pekerjaan.

Persembahan bertenaga oleh Diva Pop itu telah menggegarkan PISA dengan kelantangan serta kelunakan suaranya telah menarik perhatian lebih 5,000 orang yang hadir pada malam itu.

Ning mendendangkan sebuah lagu di awal kemunculannya dalam dunia hiburan yang sekaligus telah mengangkat namanya di persada seni tanah air bertajuk ’Curiga’ pada permulaan persembahan.

Beberapa lagu popular lain turut didendangkan pada malam itu adalah ’Kau dan Aku’, ’Hingga Akhir Nanti’, ’Andainya Aku Pergi Dulu’, ’Bunyi Gitar’, ’Malam Pesta Muda Mudi’ dan sebuah lagu Mandarin.

Sorakan serta tepukan gemuruh rakyat Pulau Pinang bertambah meriah apabila Ning melaungkan ’Penang the best’ yang diadaptasi dalam nyanyian lagu ’Simply the Best’ oleh beliau.

Rata-rata rakyat Pulau Pinang yang menghadiri konsert percuma dengan hanya menunjukkan MyKad ini berasa sangat berpuas hati dan terhibur oleh Ning.

Selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, majlis meraikan kejayaan ini turut dihadiri oleh pemimpin lain negeri seperti Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman bersama ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus (sebelum menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri kini).