Negeri sebagai hab perkongsian perkhidmatan & sumber – KM

Admin

Oleh: A INUL WARDAH  SOHILLI

GEORGE TOWNMalaysian  International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) wajar dijadikan contoh terbaik terutama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan ucap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Jamuan Makan Malam MICCI (Cawangan Pulau Pinang dan Wilayah Utara) 2014 di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, keutuhan  MICCI terbukti apabila setelah hampir 175 tahun penubuhannya, ia masih lagi kukuh, malah keanggotaan MICCI turut bertambah sebanyak 13 peratus tahun lalu kepada 86 ahli.

“Tahniah kepada MICCI yang berterusan memperkembangkan jaringan dan business circle bukan sahaja di Pulau Pinang, malah serata dunia,” ucapnya di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama,  Guan Eng turut menegaskan  bahawa pendekatan pengurusan pragmatik diamalkan Kerajaan Negeri mampu mendorong peningkatan daya saing ekonomi serta daya tahan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Telah terbukti apabila Pulau Pinang menjadi jaguh dalam pelaburan bukan setahun tetapi dua tahun berturut-turut.

“Pulau Pinang tidak hanya  mahu menjadi tumpuan pelabur, tetapi juga tumpuan dunia dari segi perkhidmatan infrastrukturnya, jaringan komunikasi dan pelancongan,” jelasnya.

Malah beliau memberitahu,  Pulau Pinang turut dipilih sebagai destinasi pelaburan terbaik dengan menawarkan tenaga kerja mahir
berkualiti, perkhidmatan bertaraf antarabangsa dan juga bidang keberhasilan ekonomi yang tinggi.

Hadir sama, Presiden MICCI,  Simon Whitelaw dan Pengerusi MICCI, Datuk Seri Nazir Ariff.

Guan Eng dalam pada itu turut menyatakan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab perkongsian perkhidmatan dan sumber sama ada sumber perniagaan, ekonomi, maklumat dan ilmu pada masa hadapan.