Negeri tapak hospital pakar kosmetik utara Semenanjung

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Hasrat Kerajaan Negeri untuk muncul sebagai sebuah negeri pelancongan perubatan kini semakin ketara apabila sebuah lagi hospital perubatan pakar, Carl Corrynton Medical Centre (CCMC) dibuka di sini baru-baru ini.

Hospital memfokuskan khidmat pakar kosmetik tersebut merupakan pusat perubatan pertama di utara Semenanjung yang menawarkan perkhidmatan seperti pembedahan plastik, perubatan dalam sukan dan bidang kesihatan yang lain.

Menurut Pengarah Urusan CCMC, Dr. Tan Kah Keong, beliau yakin CCMC bukan sahaja akan menerajui bidang perubatan kosmetik di utara Semenanjung Malaysia, bahkan bakal terkenal ke seluruh negara jiran.

“Saya percaya dengan promosi dan kualiti ditawarkan, tidak mustahil CCMC akan menjadi destinasi pilihan kepada rakyat-rakyat dari Thailand, Singapura dan Indonesia,” ujarnya pada perasmian CCMC di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, dengan bangunan yang tersedia, pihaknya telah menambah peralatan terkini dan dilengkapi teknologi baru bagi membawa transformasi baru kepada para pelanggan.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang hadir merasmikan pembukaan CCMC berkata, pembukaan hospital tersebut bakal meningkatkan tahap kesihatan dan perubatan kosmetik di negeri ini.

“Kita tidak lagi perlu terbang ke luar negara untuk mendapatkan rawatan di luar yang sedikit mahal sebaliknya sudah memadai di tempat sendiri.

“Pada masa sama, kita akan menggamit ‘orang luar’ untuk datang mendapatkan rawatan di sini,’’ jelasnya pada ucaptama di sini.

Kon Yeow difahamkan bahawa kini Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar (60 peratus) kepada industri pelancongan perubatan negara iaitu bersamaan hampir 333,000 orang setahun ataupun 27,000 orang dalam tempoh sebulan (tidak termasuk ahli keluarga).

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.