Nelayan syukur dapat bantuan pukat

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

TELUK BAHANG – Seramai 101 nelayan yang berpangkalan di sini menerima sumbangan pukat daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Antara jenis pukat yang disumbangkan adalah pukat udang, pukat bawal, pukat hantu dan lain- lain.

Menurut seorang penerima Azahari Noordin, 49, beliau amat bersyukur dengan bantuan yang tidak pernah terduga ini.

“Saya rasa dalam tempoh lima tahun ini, macam-macam bantuan baru diperkenalkan selepas Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sumbangan ini sebagaimana maklum, pukat yang digunakan kami adalah perlu diganti setiap enam bulan sekali,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penerima, Abdul Rahim Murad, 53, menyifatkan bantuan tersebut adalah amat diperlukan.

“Ini merupakan satu bantuan jangka panjang kepada kami sebagai golongan nelayan,’’ kata bapa kepada tujuh cahaya mata berkenaan.

Hadir menyempurnakan majlis sumbangan tersebut adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain.

Menurut Abdul Halim, pemberian sumbangan tersebut bakal diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini bagi meringankan beban golongan nelayan.