NGO sumbang bantuan persekolahan

Gambar : SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Seramai 301 murid dari 11 rumah kebajikan dan anak-anak yatim terpilih sekitar Pulau Pinang menerima sumbangan bantuan pakaian seragam dan kelengkapan persekolahan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) di sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Sukhindarpal Singh berkata, Projek Baju Sekolah yang telah dimulakan pada tahun 2013 diteruskan saban tahun bagi membantu golongan memerlukan terutamanya murid-murid dari rumah-rumah kebajikan serta anak-anak yatim.

Antara rumah-rumah kebajikan terlibat, Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang (Wisma Perempuan dan Wisma Lelaki), Ramakrishnan Ashrama, St. Joseph’s Home, Rumah Kebajikan Seri Cahaya, Salvation Army, Malaysia Hindu Sangam Butterworth Council, Crystal Family Home, Shammah Home dan Shan Home.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai ketika hadir merasmikan majlis penyampaian sumbangan bantuan memuji inisiatif MCCBCHST berkenaan.

“Majlis ini boleh dikatakan sebagai program serampang dua mata kerana, selain memberi bantuan kepada anak-anak yatim, orang ramai yang hadir pada program yang diadakan serentak iaitu Occupy Beach Street juga dapat berinteraksi bersama anak-anak yatim dalam suasana santai.

“Siapa tahu pengunjung yang hadir mungkin juga berminat untuk menghulurkan bantuan kepada rumah-rumah kebajikan ini,” katanya yang berharap lebih ramai tampil menghulurkan bantuan sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kelengkapan kepada penghuni rumah-rumah kebajikan di sini.