Bantuan persekolahan bukti KN ambil peduli kebajikan pelajar

Gambar : CHAN LILIAN

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer mengambil inisiatif khas mengagih-agihkan 460 helai pakaian seragam sekolah kepada para pelajar sekolah rendah dengan melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM20,500 di sini baru-baru ini.

Rayer ketika ditemui berkata, pemilihan penerima bantuan adalah berdasarkan beberapa kriteria, antaranya pendapatan keluarga dan jumlah tanggungan.

Jelasnya, inisiatif pengagihan bantuan pakaian seragam sekolah yang diadakan adalah bertujuan meringankan beban ibu bapa, terutama mereka yang mempunyai bilangan anak ramai dan yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Saya berharap bantuan yang diterima dapat menyuntik semangat adik-adik (penerima) semua untuk belajar bersungguhsungguh dan berusaha keras bagi mencapai keputusan cemerlang.

“Saya percaya bantuan ini walaupun tidak seberapa, tetapi nilainya cukup berharga kepada golongan-golongan tertentu.

“Pada masa sama, ia juga membuktikan bahawa Kerajaan Negeri mengambil peduli akan kebajikan murid-murid sekolah di negeri ini,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Program Pembekalan Pakaian Seragam Sekolah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.