NGO sumbang kelengkapan bernilai RM1.8 juta bantu Kerajaan Negeri tangani COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare hari ini menyerahkan sumbangan bernilai RM1.8 juta bagi membantu Kerajaan Negeri dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19.

Sumbangan berupa bekalan kelengkapan perubatan dan perlindungan diri itu disampaikan oleh Pengerusinya, Chua Sui Hau kepada wakil-wakil pasukan barisan hadapan sambil disaksikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar menyerahkan cek replika bernilai RM1 juta untuk Tabung Covid-19 Pulau Pinang kepada ketua Menteri.

Antara yang menerima sumbangan termasuk pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang juga mewakili Hospital Pulau Pinang (HPP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menyampaikan sumbangan ini,” ujar Kon Yeow sebelum menyempurnakan majlis penyerahan berkaitan dekat Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Penasihat One Hope Charity, & Welfare, Datuk Seri R. Arunasalam; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar MBSP, Dato Sr. Rozali Mohamud dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan.

Difahamkan, daripada jumlah tersebut, JKNPP menerima sumbangan perubatan bernilai lebih RM1 juta, manakala MBPP, MBSP dan PDRM masing-masing menerima 100,0000 unit pelitup muka.

Ketua Menteri menerima cek replika daripada Pengurus Besar PKT Logistics Group Sdn. Bhd. Cawangan Pulau Pinang, Jasmon Lim.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada syarikat PKT Logistics Group Sdn. Bhd. serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas sumbangan kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang masing-masing berjumlah RM100,000 dan RM1 juta.

Sumbangan diserahkan oleh Pengurus Besar PKT Logistics Group Sdn. Bhd. Cawangan Pulau Pinang, Jasmon Lim, manakala PDC pula diwakili oleh Pengurus Besarnya, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN