Persidangan DUN Pulau Pinang 17 April, masa dipendekkan setengah hari

Admin

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 diteruskan pada 17 April ini dengan masa dipendekkan kepada setengah hari dan tanpa istiadat kawalan kehormat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas dipersetujui dalam Mesyuarat Exco yang berlangsung pagi tadi.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin masih belum tamat dan sekiranya tamat sekalipun, kita harus melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam.

“Namun, Kerajaan Negeri perlu menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Perkara 19(1) yang menetapkan bahawa persidangan DUN perlu diadakan dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas.

“(Dan) tempoh enam bulan tamat pada 7 Mei ini. Justeru, saya akan mengadakan kunjungan rasmi terhadap TYT untuk memanggil DUN bersidang pada 17 April ini,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, persidangan DUN akan diadakan dengan pelaksanaan langkah-langkah kawalan yang ketat ekoran penularan wabak COVID-19 ketika ini.

“Perasmian persidangan akan dimulakan dengan amanat TYT dan Ketua Pembangkang dijemput membuat ucapan beliau sebelum Ketua Menteri memberikan kenyataan.

“Soalan-soalan Lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dijawab secara bertulis dan persidangan akan disiarkan secara langsung.

“DUN akan bersidang di Dewan Sri Pinang dan langkah-langkah pembasmian kuman, jarak sosial, pemeriksaan suhu badan akan dilaksanakan terhadap semua pihak yang menghadiri persidangan ini.

“Pihak DUN juga akan megaturkan kehadiran pegawai perubatan bagi menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan hadirin,” jelasnya.

Justeru. Kon Yeow memberitahu bahawa mana-mana individu atau ADUN yang tidak sihat akan dikecualikan daripada mengikuti persidangan berkenaan.

“Oleh itu, saya memohon agar ADUN-ADUN memahami situasi yang kita hadapi dan akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat.

“Diharapkan persidangan DUN kali ini akan berjalan lancar walaupun kita menghadapi kekangan akibat wabak,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN