KETERBATASAN pendengaran dan pertuturan bukan penghalang bagi lapan murid Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan untuk menari dengan penuh penghayatan. Sebaliknya, melalui disiplin, ingatan visual dan komitmen tinggi, mereka membuktikan bahawa bakat mampu menyerlah apabila diberikan peluang dan bimbingan sewajarnya.
Di sebalik persembahan bertenaga Kumpulan Gemala Citra, terdapat usaha gigih seorang jurulatih utama, MOHD. NAZRI HUSSEIN, yang bukan sahaja melatih pergerakan tari, malah menjadi penghubung antara dunia muzik dengan murid-murid yang tidak dapat mendengarnya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan berkata, kumpulan yang pada asalnya dikenali sebagai Gemala Tari itu terpaksa menukar nama kepada Gemala Citra ketika menyertai satu pertandingan sebelum ini, dengan kekuatan utama seramai lapan penari yang terdiri daripada murid berkeperluan khas pendengaran.
Menurutnya, pasukan itu diuruskan bersama Guru Kanan Bahasa, SURIANA MAT DAUD, dengan hanya dua tenaga pengajar menggalas tanggungjawab membimbing penari, menyusun latihan serta memastikan persiapan persembahan berjalan lancar.

“Apabila kita hendak memilih penari, kita akan melihat kebolehan dan kesesuaian mereka terlebih dahulu.
“Sebelum pertandingan, kira-kira 40 calon disaring untuk mendapatkan penari utama.
“Walaupun bilangan tenaga pengajar terhad, syukur kerana murid-murid ini mempunyai semangat yang sangat tinggi.
“Mereka mudah menangkap pergerakan dan ada koreografi yang dapat dikuasai dalam tempoh lebih seminggu,” katanya dalam wawancara bersama wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT di asrama Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan dekat Tanjung Bunga, semalam.
Isyarat visual ganti alunan muzik
Bagi penari yang tidak dapat mendengar muzik, setiap pergerakan memerlukan kaedah latihan yang berbeza daripada penari biasa.
Mohd. Nazri berkata, beliau perlu menghafal rentak lagu serta menyediakan isyarat visual atau cue bagi membolehkan murid mengikuti tempo, pertukaran rentak dan pergerakan koreografi dengan tepat.
Kaedah itu memerlukan tumpuan tinggi daripada jurulatih dan penari kerana mereka perlu bergantung pada pengamatan visual, bukannya alunan muzik semata-mata.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila berlaku gangguan teknikal, khususnya apabila muzik terhenti secara tiba-tiba ketika pertandingan atau persembahan berlangsung.
Jelasnya, gangguan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kelancaran persembahan, malah menyukarkan penyelarasan pergerakan kerana pasukan bergantung pada isyarat visual yang diberikan jurulatih.
“Bagi mereka, muzik bukan sesuatu yang boleh didengar dan diikuti seperti penari lain. Saya perlu menghafal rentak dan memberikan isyarat supaya mereka tahu bila hendak bergerak, menukar langkah atau meneruskan koreografi.
“Jadi, apabila berlaku masalah teknikal, keadaan itu memang memberi kesan kepada keseluruhan persembahan,” katanya.
Justeru, aspek pengurusan teknikal dan penyelarasan antara penganjur dengan jurulatih perlu diberikan perhatian bagi memastikan murid berkeperluan khas mendapat peluang bertanding dalam keadaan yang adil dan bersesuaian dengan keperluan mereka.


Dana terhad, komitmen tetap luar biasa
Di sebalik pencapaian yang diraih, Gemala Citra berdepan cabaran kewangan untuk menampung kos latihan, makanan dan penyewaan pakaian persembahan.
Mohd. Nazri berkata, kos penyewaan pakaian bagi lapan penari sahaja boleh mencecah kira-kira RM700 hingga RM800 bagi satu sesi, manakala perbelanjaan lain turut perlu ditanggung bagi memastikan murid dapat membuat persediaan dengan sempurna.
Dalam keadaan sumber kewangan yang terhad, beliau dan pasukan pengurusan terpaksa mengusahakan sendiri sebahagian keperluan berkenaan, kecuali apabila bantuan disediakan oleh pihak penganjur atau agensi berkaitan.
Namun, kekangan itu tidak mematahkan semangat murid-muridnya yang terus menunjukkan kesungguhan sepanjang latihan.
Menurut beliau, murid tidak pernah membantah apabila diminta menjalani latihan, meskipun keletihan selepas mengikuti jadual persekolahan.
Sebagai tanda penghargaan, beliau akan menyediakan makanan atau ganjaran kecil selepas persembahan bagi menghargai usaha dan pengorbanan mereka.
“Bagi saya, yang paling menggembirakan ialah apabila melihat kesungguhan mereka.
“Walaupun penat, mereka tetap datang berlatih dan tidak mudah mengalah.
“Kita mungkin mempunyai kekangan dari segi kewangan dan tenaga kerja, tetapi semangat mereka itulah yang membuatkan kita terus berusaha,” ujarnya.

Dari pentas negeri ke peringkat kebangsaan
Kesungguhan tersebut membuahkan hasil apabila Gemala Citra berjaya meraih gelaran johan peringkat negeri bagi kategori tarian rampaian, sekali gus mewakili Pulau Pinang ke pertandingan peringkat kebangsaan.
Pasukan itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul naib johan dalam pertandingan Aerodance pada tahun lepas.
Selain menyertai pertandingan, Gemala Citra juga kerap menerima jemputan untuk membuat persembahan sempena majlis penutup, acara rasmi di hotel dan program anjuran pejabat pendidikan.
Peluang berkenaan memberikan ruang kepada murid untuk mempamerkan bakat, membina keyakinan diri serta mendapatkan pengalaman berinteraksi dengan masyarakat di luar persekitaran sekolah.
Walau bagaimanapun, Mohd. Nazri berkata, pengalaman memenuhi jemputan persembahan tidak semestinya datang bersama sokongan yang mencukupi.
Ada penganjur yang tidak menyediakan bayaran, manakala sesetengahnya hanya memaklumkan peraturan pertandingan pada saat akhir, termasuk ketetapan yang tidak membenarkan jurulatih memberikan konduksi atau isyarat visual ketika persembahan.
Keadaan itu katanya, menuntut pasukan membuat penyesuaian segera sedangkan isyarat visual merupakan antara kaedah penting untuk membantu penari mengikuti koreografi.
“Bagi memastikan kelangsungan kumpulan, bekas pelajar turut memainkan peranan apabila diperlukan.
“Ada antara mereka yang pernah membantu pasukan dan dipanggil semula untuk menyertai persembahan, sekali gus memperlihatkan hubungan berterusan antara bekas murid dengan sekolah,” jelasnya.

Cabaran komunikasi perlu difahami
Menurut Mohd. Nazri, cabaran yang dihadapi murid pekak bukan sekadar terbatas kepada aktiviti tarian, malah turut melibatkan komunikasi dalam kehidupan seharian, peluang melanjutkan pelajaran dan akses kepada pekerjaan.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun murid mempunyai kebolehan membaca tetapi tahap pemahaman terhadap teks yang kompleks dan kemahiran bertutur boleh berbeza-beza, bergantung pada pengalaman pembelajaran serta kesan kehilangan pendengaran masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu memahami bahawa kesukaran berkomunikasi tidak seharusnya disalah anggap sebagai kekurangan kebolehan atau keupayaan seseorang.
Dalam masa sama, maklumat mengenai bantuan kewangan, zakat dan program khusus untuk orang kurang upaya (OKU) juga perlu disampaikan dengan lebih berkesan kepada murid serta ibu bapa.
Katanya, terdapat keluarga yang mungkin tidak mengetahui peluang atau bentuk bantuan yang tersedia, menyebabkan mereka memerlukan individu perantara untuk membantu mendapatkan maklumat, memahami prosedur dan mengakses kemudahan berkenaan.
“Kadang-kadang bantuan itu ada tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak mendapatkannya.
“Sebab itu, peranan orang yang boleh membantu menghubungkan mereka dengan agensi berkaitan sangat penting.
“Kita bukan sekadar mahu mereka menari tetapi kita juga mahu mereka mendapat peluang yang sama untuk belajar, bekerja, bergaul dan membina masa depan,” katanya lagi.
Beliau berharap masyarakat lebih terbuka dalam menerima golongan pekak dan bisu, khususnya dengan memberikan ruang kepada mereka untuk menunjukkan kemampuan dalam pelbagai bidang, tanpa dibatasi tanggapan atau stigma.

Sokongan sekolah menjadi penguat semangat
Dalam memastikan Gemala Citra terus aktif, Mohd. Nazri turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah yang sentiasa memberikan sokongan terhadap penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum dan persembahan.
Beliau menyebut sumbangan pengetua dan mantan pengetua sekolah yang memahami kepentingan aktiviti berkenaan walaupun penyertaan murid memerlukan penyelarasan jadual dan penggantian waktu mengajar.
Sokongan turut diterima daripada agensi negeri seperti Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), yang membantu menyediakan ruang dan dalam keadaan tertentu, sokongan kewangan untuk aktiviti pasukan.
Menurutnya, kerjasama sekolah, agensi kerajaan, penganjur dan masyarakat amat penting bagi memastikan murid berkeperluan khas tidak kehilangan peluang untuk mengembangkan bakat mereka.
Beliau berharap lebih banyak pihak tampil membantu, sama ada melalui pembiayaan latihan, penyediaan pakaian, pengangkutan, kemudahan persembahan mahupun peluang menyertai program di peringkat lebih tinggi.
Ruang untuk diterima
Bagi Mohd. Nazri, matlamat membimbing Gemala Citra bukan hanya untuk memburu kemenangan atau menambah koleksi anugerah, sebaliknya memastikan murid terus mempunyai ruang untuk mengembangkan potensi dan membina hubungan sosial.
Aktiviti tarian membolehkan mereka belajar tentang disiplin, kerjasama berpasukan, keyakinan diri dan tanggungjawab, di samping membuka peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas.
Beliau mahu usaha yang dibina bersama murid-murid itu diteruskan agar mereka tidak terpinggir selepas meninggalkan alam persekolahan.
Katanya, sokongan yang berterusan amat diperlukan supaya bakat yang telah diasah tidak terhenti hanya kerana kekurangan dana, kesukaran komunikasi atau ketiadaan peluang.
“Harapan saya, mereka dapat terus menari dan melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini walaupun selepas tamat sekolah.
“Kita mahu mereka terus aktif, mempunyai pengalaman dan berasa bahawa mereka juga sebahagian daripada masyarakat.
“Bakat mereka ada, apa yang diperlukan ialah peluang, sokongan dan kefahaman daripada orang sekeliling,” katanya.
Salah seorang ahli kumpulan Gemala Citra, FATIN DAMIA ARISSA MUHAMMAD AL-HAFFIZ, 17, mengakui bahawa menari tanpa iringan muzik mempunyai cabaran tersendiri kerana memerlukan daya ingatan dan penghayatan yang tinggi terhadap setiap gerak tari.

Bagaimanapun, menerusi latihan berterusan, dia berjaya mengingati setiap pergerakan yang perlu dipersembahkan meskipun tanpa bantuan irama muzik.
Menurutnya, tarian Melayu Asli merupakan antara jenis tarian yang paling sukar dikuasainya kerana memerlukan ketelitian dalam setiap gerakan.
Dalam pada itu, Fatin Damia Arissa berkata, dia sentiasa berusaha mengimbangi masa antara komitmen akademik dengan latihan tarian bagi memastikan kedua-duanya dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Mengimpikan kerjaya sebagai penari profesional, beliau berharap dapat terus mengasah bakat dan memperkukuh kemahiran dalam bidang seni tari sehingga mampu merealisasikan cita-citanya.
Sementara itu, MUHAMMAD AIREL ZAFWAN MOHD. RASHID, 20, yang dibantu oleh Mohd. Nazri Hussein sebagai penterjemah bahasa isyarat, membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun seni tari.

Berasal dari Johor, dia yang mula menceburi bidang tarian sejak sekolah rendah kini menyambung pengajian secara sambilan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Open University Malaysia (OUM) dan sedang mengikuti semester empat.
Lebih membanggakan, Muhammad Airel Zafwan merupakan pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) antara 3.60 hingga 3.97 bagi tiga semester pertama pengajiannya.
Berkongsi rutin hariannya, dia berkata, masa perlu diuruskan sebaik mungkin dengan bekerja pada sebelah pagi, menghadiri kelas pada sebelah petang dan menjalani latihan tarian pada waktu malam sekiranya berkelapangan.
Kesungguhan itu mencerminkan komitmennya untuk terus mengimbangi tuntutan kehidupan, pendidikan dan minat dalam seni tari yang telah sebati dalam dirinya sejak usia muda.
Selain Fatin Damia Arissa dan Muhammad Airel Zafwan, lima lagi anggota kumpulan berkenaan yang menyertai sesi wawancara ialah Muhammad Alif Asyraf Mohd. Rashid, 18; Iyad Muhamin Irrwardi Irwan, 17; Shahrul Iqram Abdullah, 14; Nur Qistina Batrisya Sabri, 14, serta Farah Nurul Hani Hafizam, 15.
Di sebalik setiap langkah tari Gemala Citra, tersimpan kisah ketekunan murid yang belajar mengikuti rentak tanpa mendengar muzik serta dedikasi dua tenaga pengajar yang menggerakkan pasukan dengan sumber terhad.
Mereka membuktikan bahawa keterbatasan bukan alasan untuk menafikan potensi seseorang. Sebaliknya, dengan bimbingan yang sesuai, sokongan berterusan dan masyarakat yang lebih inklusif, pentas yang dahulunya sukar dicapai mampu menjadi ruang untuk mereka menyerlah.
Bagi Gemala Citra, setiap persembahan bukan sekadar tentang gerak tari yang seirama, tetapi tentang hak untuk diberikan peluang, diraikan dan diterima tanpa batasan.
