Ninja Mart perkenal konsep membeli sambil beramal

NINJA Mart Network (Ninja Mart) komited untuk berkongsi keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan mereka dengan masyarakat melalui sumbangan amal kepada rumah-rumah anak yatim dan kebajikan di negeri ini.

Pada 2 Disember 2022, Ninja Mart berjaya membuka cawangan kedai serbaneka ketiga di Lebuh Chulia untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Perasmian pembukaan cawangan ketiga disempurnakan oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

HASNI Abd. Wahab.

Difahamkan, Ninja Mart membuka cawangan pertamanya di Pangsapuri Sungai Ara dekat Bayan Lepas pada Julai 2022 dan disusuli dengan cawangan kedua di Jalan Gottlieb, George Town pada September tahun yang sama.

Baru-baru ini, pasukan Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual pengurus program Ninja Mart, HASNI ABD. WAHAB untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerja-kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh syarikat itu.

Bukan hanya bermatlamat keuntungan

Bercerita lanjut, Hasni berkata bahawa matlamat Ninja Mart Network bukan sahaja untuk mencari keuntungan semata-mata tetapi juga merancang untuk menjalankan kerja amal pada setiap bulan.

“Majikan saya, Dr. CK Neoh merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat prihatin terhadap golongan yang memerlukan terutamanya melibatkan anak yatim dan golongan warga emas.

“Oleh itu, beliau selalu berpesan bahawa sekiranya kami memperoleh lebih banyak keuntungan, maka lebih banyak kami perlu kembalikan kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya dengan nada mesra.

Hasni berkata, sumbangan amal yang disalurkan oleh Ninja Mart Network tidak mempunyai sasaran tertentu, sebaliknya merangkumi semua golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan jantina.

SUSHI yang dihasilkan oleh anak tempatan merupakan antara produk utama.

“Setakat ini, kegiatan amal yang kita jalankan adalah merangkumi rumah anak yatim, rumah kebajikan orang-orang tua, masjid, surau dan golongan miskin.

“Prinsip kita adalah selagi ada keperluan untuk kami menyumbang, kami akan berikan yang terbaik mengikut keperluan mereka.

“Sebenarnya, sumbangan amal syarikat juga bukanlah terhad kepada masyarakat di Pulau Pinang sahaja tetapi kami juga membantu mereka yang memerlukan di beberapa lagi negeri seperti Kedah dan Perak.

“Contohnya, sebelum ini kami juga ke Baling, Kedah untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung di sana yang begitu terkesan akibat penularan pandemik COVID-19,” jelasnya.

Hasrat kembangkan perniagaan

Mengulas lanjut, Hasni menyatakan bahawa syarikat berkenaan turut menyasarkan untuk membuka 30 cawangan Ninja Mart di seluruh negara menjelang penghujung tahun 2023.

“Sekarang ini, kami sedang membuat beberapa penelitian dan merancang untuk membuka beberapa lagi cawangan dalam masa terdekat di Johor dan Sabah.

“Seperti yang diketahui umum, produk utama kami ialah makanan iaitu sushi yang dihasilkan sendiri oleh anak tempatan.

“Selain itu, kami juga memasarkan produk-produk lain termasuk roti, minuman, makanan ringan serta serta keperluan harian dari beberapa negara Asia.

RUANG makan yang disediakan kepada pelanggan di premis Ninja Mart.

“Pada masa hadapan, kami juga mungkin akan menambah beberapa lagi sekiranya ada permintaan dan menepati kehendak syarikat,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Hasni menyatakan bahawa bahawa Ninja Mart turut mewujudkan ruang untuk pelanggan berehat sambil menikmati minuman atau makanan berasaskan Jepun di kedai serbaneka tersebut.

Sokong produk PKS

Serentak itu, Hasni turut memberitahu bahawa Ninja Mart turut menyokong penuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di negeri ini dengan meletakkan produk-produk mereka untuk dijual di kedai serbaneka tersebut.

“Selain itu, kami juga menyediakan latihan sambil bekerja kepada kakitangan sambilan kami khusus untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bertujuan memberikan pengalaman seterusnya membantu mengembangkan kerjaya mereka.

“Kita juga sedang dalam perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan kolej-kolej tempatan untuk membolehkan pekerja kita mengikuti kursus dalambidang kulinari dan peruncitan,” ujarnya.

Selain rangkaian Ninja Mart, Dr. Neoh juga menjalankan beberapa perniagaan lain, termasuk perkhidmatan pengambilan pekerja yang mana mereka mencari tenaga berbakat untuk pelanggan mereka.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING