Bekal makanan berkualiti, resipi rahsia Mamu Rasheed

Admin

PEMERGIAN anak yang menjadi harapan keluarga akibat kemalangan jalan raya tidak mematahkan semangat ABDUL RASHEED MOHAMED ALI, 54, untuk meneruskan perniagaan catering yang diusahakan beliau sejak tujuh tahun lalu.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, beliau yang lebih mesra disapa sebagai ‘Mamu Rasheed’ berkata, cuma impian untuk melebarkan perniagaan di Kuala Lumpur terpaksa dilupakan selepas pemergian anak lelakinya itu.

“Tidak dinafikan selepas mendapat perkhabaran bahawa anak saya sudah tidak ada akibat kemalangan tersebut… saya pada mulanya berasa sudah tidak berminat untuk meneruskan perniagaan ini.

“Ini kerana tujuan saya mulakan perniagaan ini adalah untuk diwarisi kepada anak lelaki saya kerana dia menunjukkan minat yang begitu mendalam terhadap perniagaan.

“Setiap kali saya mendapat tempahan daripada pelanggan, dia pasti akan ikut sekali…malah, ada ketikanya saya serahkan 100 peratus kepada dia untuk jalankan perniagaan ini.

“Boleh dikatakan bahawa dia sudah dapat membiasakan diri untuk menjalankan perniagaan ini walaupun tanpa kehadiran saya,” katanya ketika wawancara khas bersama-sama wartawan, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD baru-baru ini.

Meneruskan perniagaan

Namun begitu menurut Mamu Rasheed, selepas dinasihati oleh ahli keluarga dan mengambil kira tempahan yang diterima daripada pengguna yang semakin banyak, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk meneruskan semula perniagaan tersebut.

“Selepas dua minggu sejak ketiadaan anak lelaki kesayangan saya itu, barulah saya ada kekuatan untuk memulakan semula perniagaan ini.

“Tambahan pula, permintaan daripada pelanggan semakin banyak jadi saya tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai faktor perniagaannya yang kini semakin laris, Mamu Rasheed berkata beliau sering menitikberatkan kualiti semasa menyediakan juadah yang ditempah oleh pelanggan.

MENU kambing golek antara yang mendapat permintaan tinggi.

“Menu kambing golek contohnya… ada sesetengah peniaga menyediakan kambing golek yang dimasak kurang sempurna sama ada daging menjadi keras kerana dimasak terlalu awal atau tidak masak dengan sempurna.

“Syukur Alhamdulillah… setakat ini maklum balas yang diterima daripada pelanggan mengenai menu kambing golek yang kami sediakan sangat memuaskan kerana dimasak dengan baik dan dagingnya yang begitu lembut.

“Selain itu, sos untuk perapan dan pencicah bagi menu kambing golek juga dihasilkan sendiri menggunakan resipi rahsia keluarga.

“Inilah yang menyebabkan kebanyakan pelanggan memilih untuk menempah semula dan mecadangkan perniagaan kami kepada kawan-kawan mereka sekiranya ada sebarang majlis,” ujarnya.

Menyediakan pelbagai menu

Mamu Rasheed berkata, selain kambing golek, beliau juga menyediakan pelbagai menu lain seperti laksa, cendol, char kuetiaw, tosai, sate, mi goreng mamak, popia basah dan banyak lagi.

“Memang menu paling popular adalah kambing golek tetapi terdapat juga menu lain yang diminta oleh pelanggan dan kami akan sediakan mengikut pakej dimahukan oleh mereka.

“Harga yang dikenakan juga adalah berpatutan dan mengikut kemampuan pelanggan,” jelasnya sambil menambah bahawa perniagaan Mamu Rasheed juga pernah terlibat dengan majlis-majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Mamu Rasheed berkata bahawa beliau berhasrat untuk mempelbagaikan lagi menu demi kepuasan pelanggan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan daripada Mamu Rasheed bagi pelbagai majlis boleh hubungi Al-Rasheed Special (Hawkers) di talian 017-566 1371.