GEORGE TOWN – Penghasilan muzik video patriotik bertajuk “Oh Malaysiaku” disifatkan sebagai manifestasi semangat cintakan negara, perpaduan rakyat serta penghargaan kepada semua pihak yang telah berkorban demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penghasilan karya kreatif sedemikian amat penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurut beliau, rakyat Malaysia amat bertuah kerana masih dapat hidup dalam suasana aman, stabil dan harmoni meskipun dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik serta perbezaan pandangan sosial.
“Keamanan yang kita nikmati hari ini tidak hadir dengan sendiri, tetapi terbina hasil usaha, pengorbanan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan, petugas kesihatan, pendidik, anggota penyelamat serta seluruh barisan hadapan negara.
“Perpaduan Malaysia bukan sekadar slogan, sebaliknya lahir daripada semangat kebersamaan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Muzik Video “Oh Malaysiaku” anjuran Persatuan Prihatin Komuniti Harmoni Pulau Pinang (CHC) dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Ketua Polis Pulau Pinang, Dato’ Ts. Azizee Ismail; Presiden CHC, Dr. Lee Eng Wah serta ketua-ketua dan wakil-wakil Jabatan Negeri.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyatakan bahawa penghasilan muzik video berkenaan amat bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi paparan keindahan budaya, kepelbagaian masyarakat serta keharmonian negara.
“Melalui pendekatan kreatif ini, Malaysia dapat diperkenalkan kepada dunia luar sebagai sebuah negara yang aman, selamat, mesra pelancong dan kaya dengan warisan budaya.
“Malah, Pulau Pinang sendiri merupakan contoh terbaik bagaimana masyarakat pelbagai kaum mampu hidup bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
“Negeri ini bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan serta ekonomi, malah turut dikenali sebagai negeri yang kaya dengan bakat, kreativiti dan semangat cintakan tanah air,” ujarnya.
Pada masa sama, selaras dengan Visi Penang2030, Kon Yeow menyatakan bahawa usaha sedemikian turut menyokong Inisiatif Strategik B4 yang memfokuskan pembinaan ekosistem bagi memupuk industri kreatif dan perkhidmatan perniagaan khusus.
“Kerajaan Negeri menetapkan sasaran penganjuran 300 program seni berasaskan komuniti menjelang tahun 2030 bagi merangsang ekonomi kreatif serta meningkatkan penglibatan masyarakat setempat secara holistik.
“Serentak itu, penghasilan video ini membuktikan bahawa karya kreatif mampu menjadi medium penyatuan masyarakat serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memuji mesej perpaduan yang diketengahkan menerusi muzik video tersebut yang menurutnya membuktikan perpaduan Malaysia bukan sekadar slogan semata-mata.
“Saya percaya penghasilan muzik video ini oleh anak-anak Pulau Pinang sekali lagi membuktikan bahawa negeri ini bukan sahaja kaya dengan pembangunan dan kemajuan, malah kaya dengan insan berbakat yang mempunyai semangat patriotisme serta kecintaan mendalam terhadap negara.
“Penglibatan pelbagai agensi membuktikan keamanan dan keharmonian negara hanya dapat dipertahankan apabila rakyat serta institusi bergerak seiring dalam semangat solidariti dan saling menghormati.
“Justeru, saya berharap muzik video “Oh Malaysiaku” akan terus menyentuh hati rakyat Malaysia dan menjadi inspirasi untuk mempertahankan perpaduan serta menghargai keamanan negara,” tambahnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI