SEBERANG JAYA – Sebanyak 53,943 kompaun kesalahan tempat letak kereta yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masih belum dijelaskan oleh pemilik kenderaan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Noor mendedahkan bahawa dari Januari hingga April 2026, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telah mengeluarkan sebanyak 103,294 kompaun di bawah Perintah Lalu Lintas Jalan (Letak Kereta Berkupon) MPSP 1995.
Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya 49,351 kompaun berjaya diselesaikan atau dijelaskan oleh pesalah.

Menurut beliau, statistik bulanan menunjukkan trend pengeluaran kompaun yang berubah-ubah dengan jumlah tertinggi direkodkan pada Januari iaitu sebanyak 31,964 kompaun, diikuti Februari (22,079), Mac (20,553) dan April (28,698).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis yang dikemukakan oleh Ahli Majlis MBSP, Linda Ng Kerh Wei pada Mesyuarat Majlis Penuh Ke-623 (05/2026) yang berlangsung di Menara Bandaraya MBSP di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai status operasi pengurusan parkir di Seberang Perai, Mohd. Ibrahim menjelaskan bahawa sehingga April 2026, terdapat sebanyak 32,198 petak Tempat Letak Kereta (TLK) berbayar yang telah diwartakan dan beroperasi di bawah seliaan MBSP merangkumi tiga daerah utama.
“Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah petak TLK tertinggi iaitu sebanyak 17,914 petak, diikuti Seberang Perai Utara (SPU) dengan 11,064 petak, manakala baki 3,220 petak berada di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS),” jelasnya menerusi maklum balas bertulis berkenaan.
Menjawab pertanyaan Kerh Wei mengenai keupayaan jentera penguatkuasaan di lapangan, Mohd. Ibrahim memaklumkan bahawa Unit Tempat Letak Kereta (TLK) di bawah Direktorat Penguatkuasaan MBSP kini dianggotai seramai 60 pegawai dan anggota.
Menurut beliau, jumlah tenaga kerja sedia ada masih berada pada tahap optimum bagi mengendalikan operasi pemantauan serta penguatkuasaan di seluruh kawasan TLK berbayar yang melibatkan daerah SPU dan SPT.
“MBSP sentiasa melakukan penilaian berkala dari semasa ke semasa bagi meneliti keperluan penambahan perjawatan pada masa hadapan.
“Langkah itu penting memandangkan terdapat pertambahan kawasan baharu yang diwartakan sebagai kawasan TLK berbayar termasuk peluasan operasi ke daerah Seberang Perai Selatan (SPS), selaras dengan pertambahan keluasan bandar serta bilangan petak parkir fizikal yang perlu dipantau,” katanya.
Bagi mendepani cabaran kekangan tenaga kerja serta meluaskan liputan penguatkuasaan, Mohd. Ibrahim berkata MBSP kini memberi tumpuan kepada pendekatan berasaskan teknologi dan sistem digital.
“Penggunaan aplikasi pintar dan sistem digital bakal membantu memperkukuh kecekapan operasi pemantauan serta memastikan tindakan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas dan pengurusan Tempat Letak Kereta (TLK) di bawah seliaan MBSP dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, telus dan berkesan,” katanya lagi.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN