Operasi bersepadu tangani kebanjiran warga asing di Bukit Mertajam, respons Exco

Admin

*Operasi bersepadu tangani kebanjiran warga asing di Bukit Mertajam, respons Exco*

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah melaksanakan operasi bersepadu bersama-sama Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan serta jabatan-jabatan dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) di premis-premis perniagaan membabitkan warga asing dekat Pekan Bukit Mertajam.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, MPSP turut menyemak serta menyiasat penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan dan mengambil tindakan pembatalan lesen perniagaan.

“Sekiranya pemilik lesen enggan bekerjasama, MPSP akan mengeluarkan tawaran kompaun dan notis berkaitan kepada pemilik perniagaan yang tidak mematuhi syarat-syarat pelesenan dan seterusnya mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah di bawah Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen, MPSP 1980 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan MPSP yang sah,” jelasnya semasa menjawab sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 2 Mei 2019.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyatakan bahawa MPSP juga telah menubuhkan pasukan kerja khas untuk membincangkan isu perniagaan yang dijalankan oleh warga asing.

Terdahulu, ADUN Berapit, Heng Lee Lee membangkitkan isu kebanjiran warga asing terutama di Bukit Mertajam yang dipercayai menimbulkan kebimbangan warganegara setempat di pekan lama tersebut.

Justeru, beliau meminta Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mengemukakan langkah-langkah penyelesaian yang wajar dalam isu berbangkit itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD