Operasi inap sementara mesti dapat kebenaran AGM MC, JMB terlebih dahulu – Exco

Admin
JAGDEEP Singh Deo semasa merasmikan Seminar Pengurusan Strata 2023 di Hotel Mercure Tanjong Bunga di sini pada 16 Mac 2023.

TANJONG BUNGA – Unit kediaman bertingkat yang mahu dijadikan tempat penginapan sementara bagi tempoh maksimum tiga hari berturut-turut atau 180 hari setahun mesti mendapat kebenaran rasmi daripada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata garis panduan berwajib akan dikemas kini secepat mungkin sebelum langkah penguatkuasaan dilaksanakan melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

JAGDEEP Singh Deo

Langkah tersebut, menurutnya adalah susulan banyak aduan mengenai kacau ganggu yang dibangkitkan oleh penghuni tetap unit kediaman berstrata sebelum ini.

“Garis panduan ini akan dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan kita.

“Ini kerana, sudah wujud undang-undang kacau ganggu yang berpunca daripada penginap sementara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat semasa merasmikan Seminar Pengurusan Strata 2023 anjuran Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MBPP di Hotel Mercure Tanjong Bunga di sini pada 16 Mac 2023.

Di samping itu, Jagdeep memberitahu bahawa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming secara verbal bersetuju untuk mewujudkan seorang lagi Timbalan Pengarah Suruhanjaya Bangunan (COB) serta menambahkan bilangan kakitangan sokongan bagi di kedua-dua PBT memandangkan Pulau Pinang adalah negeri kedua paling banyak mempunyai skim perumahan berstrata selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jumlah keseluruhan badan pengurusan yang telah menubuhkan JMB atau MC adalah sebanyak 1,270 skim daripada keseluruhan skim pemajuan di bawah seliaan MBPP (yang) sebanyak 1,380 skim dengan jumlah petak sebanyak 236,907,” jelasnya sambil menyifatkan tugas pemantauan yang dilakukan oleh ‘pasukan’ Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP, Nurul Azian Mohd. Nordin di negeri ini adalah begitu berat berbanding PBT-PBT lain.

AR. Yew Tung Seang

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang memberitahu bahawa Akta 757 menetapkan bahawa tempoh kepada pemaju untuk mengadakan mesyuarat pertama penubuhan JMB adalah tidak lewat daripada 12 bulan dari tarikh penyerahan pemilikan kosong.

Dalam tempoh interim pula, beliau berkata para pembeli petak (unit kediaman berstrata) bersama-sama dengan pemaju akan menyelenggara dan menguruskan bangunan harta bersama melalui JMB.

“Manakala COB pula berperanan memastikan semua pihak yang terlibat sama ada pemaju, pembeli petak, JMB dan MC menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Tindakan boleh diambil ke atas pihak yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta (757) ini,” jelasnya sambil memberitahu bahawa tujuan penguatkuasaan akta tersebut bersama Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan adalah demi memastikan semua pihak menikmati kualiti hidup selesa termasuk penggunaan harta bersama.

Beliau juga berkata, pihaknya berharap para peserta seminar pada hari ini dapat mengenal pasti serta merumuskan solusi di sebalik pewartawan Akta Pengurusan Strata 2013 yang mula dikuatkuasakan di seluruh negeri Pulau Pinang mulai 12 Jun 2015.

Selain Nurul Azian, turut serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan tiga pembentang kertas kerja seminar, Che Adzhan Che Adnan, Kuan You Wai dan Abu Bakar Ahmad.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING