Operasi keempat, MBPP arah penutupan 3 premis makanan, 1 kedai runcit kotor

GEORGE TOWN – Tiga premis kedai makanan dan satu kedai runcit diarahkan tutup hasil daripada operasi keempat yang dijalankan Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.

Penutupan tersebut dibuat selaras dengan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 39 (1) 1991.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M. Bawani, arahan tersebut dikeluarkan setelah pegawai pemeriksa mendapati terdapat hurungan lipas, tikus, najis dan bangkai tikus.

“Daripada empat premis yang diarahkan tutup tersebut, dua daripadanya berpunca daripada wujudnya hurungan lipas, manakala baki dua lagi ditutup akibat hurungan tikus dan dijumpai bangkai tikus di dalam premis makanan tersebut.

“Selain itu, tiga kompaun turut dikeluarkan kerana pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan anti typhoid dan wujudnya kontiminasi silang di mana makanan yang telah dimasak diletak sekali bersama-sama bahan mentah,” ujarnya.

Operasi keempat tahun ini tersebut dilakukan sekitar kawasan George Town pagi ini dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Bagi tahun 2020, Bawani memaklumkan pihaknya sudah melakukan empat operasi melibatkan 17 premis di kawasan pulau.

“Sebanyak 12 premis telah diarahkan tutup daripada 17 jumlah premis makanan yang diperiksa, dan sebanyak 19 kompaun telah dikeluarkan membawa kepada jumlah kompaun sebanyak RM1,300.

“Operasi ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada pemilik kedai bahkan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memilih kedai yang bersih, berkualiti dan selamat untuk dimakan,” ujarnya yang mengetuai 11 kakitangan lain dari Bahagian Pelesenan MBPP untuk melakukan operasi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING