Operasi pemeriksaan suhu badan di pintu masuk menara Komtar mulai hari ini

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan menjalankan operasi saringan kesihatan di semua pintu masuk menara Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) mulai hari ini.

Selain pemeriksaan suhu badan, kakitangan dan orang awam yang mahu memasuki menara Komtar juga perlu membersihkan tangan.

Operasi yang dijalankan seawal jam 7.30 pagi itu adalah sebagai langkah pencegahan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang turut melanda negara.

Oleh itu, semua kakitangan dan orang awam yang mahu memasuki menara Komtar dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu masuk di Tingkat 1, 2 dan 3.

Tidak terkecuali, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang turut menjalani pemeriksaan suhu badan pada jam 8.30 pagi ini.

Difahamkan, setakat ini semua kakitangan dan orang awam yang sudah disaring tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.