Sinar Kasih bantu pelajar sakit kronik dapat pendidikan berkualiti

Admin

BAYAN LEPAS – Program Sinar Kasih yang diilhamkan oleh Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) merupakan inisiatif untuk memberi akses pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, program berkenaan diperkenalkan khusus untuk membantu pelajar sekolah menengah kurang berkemampuan yang menghadapi penyakit kronik sehingga tidak dapat melanjutkan pelajaran di sekolah.

Katanya, bagi pelajar Tingkat 4 dan 5 yang tidak mampu ke sekolah atas masalah kesihatan akan mendapat khidmat ‘Home Coaching’ oleh guru-guru bertauliah sebagai persediaan untuk mereka menduduki peperiksaan Silil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dalam kawasan Parlimen Bayan Baru, kami berjaya menjejaki seorang pelajar iaitu Muhammad Adel Wajdi Badrulzaman, 17, daripada keluarga kurang berkemampuan dan menghidapi penyakit kanser limfoma.

“Kesan daripada penyakit ini, Muhammad Adel mengalami kemurungan dan tidak dapat hadir ke sekolah sejak di Tingkatan 2 pada tahun 2016,” katanya pada sidang media, di sini pada 7 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Tze Tzin memaklumkan bahawa pihaknya juga meluluskan peruntukan berjumlah RM10,000 bagi tujuan membiayai elaun guru-guru yang terlibat menjalankan khidmat latihan di rumah untuk Muhammad Adel.

“Seramai lima orang guru bertauliah telah dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya untuk membantu meningkatkan pelajaran Muhammad Adel di rumah.

“Saya juga dimaklumkan bahawa keputusan SPM Muhammad Adel yang diumumkan baru-baru ini adalah memuaskan meskipun dia tidak bersekolah selama tiga tahun.

“Justeru, terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Sinar Kasih sekaligus membantu Muhammad Adel mendapat pendidikan yang berkualiti,” ujarnya lagi.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: ADUN