Operator Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung setuju tamatkan perkhidmatan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan operator pengendali Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, persetujuan tersebut dicapai melalui surat maklum balas yang dikemukakan oleh pihak operator kepada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan penamatan kontrak dan pihak operator telah menyatakan persetujuan melalui surat rasmi yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Ketika ini, kita masih dalam proses perbincangan mengenai terma-terma bagi penamatan kontrak agar isu ini diselesaikan dengan baik tanpa melibatkan tindakan mahkamah.

“Oleh itu, kita akan terus berunding mengenai terma-terma penamatan kerjasama ini seperti kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri akibat bencana kebakaran, bayaran pampasan, tarikh penamatan operasi dan lain-lain.

“Namun, kita jangka ia akan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk diselesaikan sebelum kerjasama antara kedua-dua pihak ditamatkan secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas sesi soalan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menanggung kerugian sebanyak RM888,229.30 akibat kejadian kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menanggung kos pampasan sebanyak RM115,000.00 yang dibayar kepada 115 keluarga yang terjejas.

“Malah, kegagalan pihak kontraktor menyelenggara tapak pelupusan dengan baik mengakibatkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengalami kerugian berjumlah RM59.5 juta” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat itu ketika menjawab soalan daripada ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon berhubung bencana kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlaku pada 12 Januari lalu.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & LAW SUUN TING