MBPP cadang rangka garis panduan RIBI

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam usaha merangka garis panduan khusus untuk rumah ibadat bukan Islam di berada di bahagian pulau.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, John Ooh Sin Hwa berkata, pihak MBPP akan bekerjasama dengan Penang Harmony Corporation atau HARMONICO bagi memperoleh maklumat lanjut berkaitan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang ada di dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan tersebut.

 

“Pada peringkat perancangan kini, sememangnya kita (MBPP) tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai rumah ibadat bukan Islam yang ada di negeri ini.

 

“Walau bagaimanapun, kerjasama dengan HARMONICO menerusi Sistem eRIBI akan membuka ruang untuk MBPP membantu rumah ibadat bukan Islam terutama dalam mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

 

“Anggaran unjuran yang dibuat mendapati masih terdapat sekurang-kurangnya 100 buah rumah ibadat bukan Islam atau RIBI di bahagian pulau yang belum memiliki CCC.

 

“Isu ini perlu diberi perhatian sekali gus mencari penyelesaian terbaik kerana sebagai sebuah Kerajaan Tempatan kita (MBPP) juga diperuntukkan punca kuasa bagi mentadbir urus perkara berkaitan bangunan,” ujarnya pada sesi penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 5 Tahun 2022 yang diadakan menerusi platform Zoom pada 30 Mei 2022.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya, Ir. A. Rajendran; barisan Ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan berkaitan.

OOH Sin Hwa.

 

Mengulas lanjut, Sin Hwa memberitahu bahawa MBPP akan memperhalusi asas-asas pertimbangan dalam merangka garis panduan tersebut.

 

“Antaranya, rumah ibadat bukan Islam yang terlibat perlu berdaftar sebagai pertubuhan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

 

“Hartanah bangunan rumah ibadat bukan Islam yang terlibat dalam permohonan pemutihan adalah milik rumah ibadat itu sendiri atau tanah yang diduduki telah mendapat kebenaran sah daripada tuan tanah.

 

“Pendek kata, implikasi dari sudut perundangan perlu diteliti dan dipertimbangkan pada setiap peringkat untuk memastikan keabsahan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan,” jelasnya. 

 

Tambah beliau, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh pihak MBPP dalam merangka garis panduan berkaitan.

 

“Tidak dinafikan bahawa cadangan ini (untuk merangka garis panduan RIBI) ada cabaran tersendiri.

 

“Saya percaya dengan maklumat yang diperoleh menerusi Sistem eRIBI nanti akan membolehkan garis panduan dirangka sesuai untuk menangani isu-isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam pada masa depan,” katanya lagi.

 

Terdahulu, ketika mesyuarat sedang berlangsung, Ahli Majlis Wong Yuee Harng memaklumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan telah meluluskan cadangan bagi bayaran sewa oleh penyewa berdaftar perumahan awam, penyewaan awam dan tanah menggunakan ‘auto debit‘ serta insentif sebanyak RM5.00 secara ‘one-off‘ akan diberikan kepada penyewa yang menggunakan kaedah tersebut selama setahun tanpa gagal.

 

WONG Yuee Harng (berdiri) ketika membentangkan hasil mesyuarat jawatankuasa berkaitan pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 5 Tahun 2022 di sini.

 

“Kaedah ini banyak memudahkan penyewa terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang mana mereka tidak perlu hadir ke kaunter MBPP untuk membuat pembayaran,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBPP