Orang ramai dijemput sertai ‘World Clean Up Day’ , 15 September ini

Admin

SEBERANG JAYA – Penduduk di negeri ini khususnya warga Seberang Perai diseru untuk bersama-sama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Junior Chamber International (JCI) menyertai program ‘World Clean Up Day’ pada 15 September ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program selama dua jam bermula 8.00 hingga 10.00 pagi itu melibatkan 17 kawasan taman perumahan yang akan dikendalikan oleh lima buah sekolah.

“Selain taman-taman yang terlibat, penduduk juga boleh mengutip sampah di tempat masing-masing dan membawa sampah itu ke Auto City Juru,” katanya pada sidang media di Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, di sini sebentar tadi.

Tambah Rozali, matlamat penganjuran program tersebut adalah untuk mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

“Sasaran beratan barangan kitar semula yang perlu dikutip pada hari program berlangsung ialah 2,000 kilogram dan penyertaan yang disasarkan pula seramai 600 orang.

“Selepas selesai dikutip, sampah-sampah ini akan dibawa ke Auto City Juru untuk ditimbang dan bagi barangan yang boleh dikitar semula akan diserahkan kepada pengusaha untuk dijual.

“Hasil jualan barangan kitar semula ini akan diserahkan kepada sekolah-sekolah yang terlibat,” jelasnya lagi.

Difahamkan, antara taman yang terlibat dalam program tersebut adalah Taman Tenang di Bukit Mertajam, Taman Perkasa, Taman Meranti Indah dan Taman Seri Ceraya bagi kawasan Batu Kawan serta taman di sekitar Butterworth (Taman Mekar, Taman Segar Indah, Taman Bayu dan Kawasan Perindustrian Mak Mandin.

Bagi kawasan Perai pula melibatkan Taman Kelisa Emas, Taman Janggus Jaya dan Taman Naluri serta taman-taman di Perkampungan Juru iaitu Taman Cendana, Taman Sukun Indah serta Taman Sentul Jaya.

Program berkenaan juga akan dianjurkan di Taman Sembilang pada hari yang sama dengan kerjasama MPSP, Think City, JCI Bayan dan Penggerak Komuniti Muda, Pulau Pinang (PEKA).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MPSP