P. Pinang-Austria bincang bawa masuk pelaburan

O l e h : A HMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menerima kunjungan hormat daripada duta Austria, Christophe
Ceska di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan tertutup tersebut, Guan Eng dan Ceska membincangkan hubungan dua hala di antara Pulau Pinang dan Austria bagi membawa masuk pelaburan ke negeri ini.

Katanya, Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan dan kami (Kerajaan Negeri) bekerja keras untuk memenuhi amanat yang diberikan oleh rakyat.

“Pulau Pinang merupakan sebuah negeri paling sesuai kerana semua pihak mempunyai peluang yang sama di sini,’’ katanya ketika menerima kunjungan hormat tersebut di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Guan Eng bersama-sama delegasi Kerajaan Negeri mengadakan lawatan ke ibu negara Austria, Vienna bagi membawa masuk pelaburan sebuah syarikat pembuatan elektronik terkemuka, AT&S.

Dalam pada itu, Ceska menyatakan bahawa Pulau Pinang telah membuat satu kemajuan besar dan beliau percaya bahawa di bawah
pentadbiran Guan Eng, negeri ini dipercayai dapat berkembang sebagai tunggak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Turut sama dalam pertemuan itu, Kaunselor Komersial Austria di Kuala Lumpur, Werner Somweber dan Hussain Abdul Aziz (Konsul Kehormat Austria di Pulau Pinang).

Somweber berkata, pihaknya bakal mengadakan lawatan ke negeri ini sekali lagi pada tahun hadapan untuk seminar susulan.

“Selain sektor elektronik, Pulau Pinang boleh juga mendirikan bilik pameran lekapan berasaskan pokok pain yang terkenal di Austria,” akhiri Somweber baru-baru ini.