AS kekal pelabur asing ulung tahun 2014

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Amerika Syarikat (AS) akan kekal sebagai pelabur asing ulung di Malaysia tahun hadapan berikutan trend pelaburan dan aktiviti ekonomi yang amat menggalakkan sepanjang tahun ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sejurus selepas mengadakan pertemuan bersama Duta Besar AS di Malaysia, Joseph Y. Yun di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, selain sektor elektrikal dan elektronik (E&E), terdapat juga syarikat-syarikat dari AS yang berminat untuk melabur dalam sektor pelancongan kesihatan serta penjagaan kesihatan.

“Ini (perkembangan terkini) amat positif apabila mereka (AS) berminat untuk mengembangkan pelaburan dan perniagaan di Pulau Pinang.

“Selain mempunyai modal insan berkaliber, kita (Pulau Pinang) menawarkan juga kemudahan infrastruktur yang efisien dan persekitaran mesra pelaburan dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala (antara Pulau Pinang dan AS),” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pertemuan tertutup tersebut, Ketua Menteri turut meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi dialog bersama American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM).

Selain membincangkan elemen pengukuhan hubungan dua hala, dialog turut berkisar mengenai inisiatif dan sumbangan syarikat-syarikat dari AS dalam meningkatkan standard ekonomi di Pulau Pinang sekaligus meningkatkan usahasama antara pelabur.