P. Pinang gesa Pusat kenalkan semula DIBS, longgarkan syarat pinjaman rumah

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat harus pertimbangkan cadangan Pulau Pinang untuk memperkenalkan semula Skim Pemaju Tanggung Faedah atau Developer Interest Bearing Scheme, DIBS bagi rumah berharga di bawah RM300,000.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pada masa sama, Kerajaan Pusat juga digesa supaya melonggarkan syarat-syarat pinjaman perumahan bank-bank komersial bagi membolehkan golongan B40 iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah sehingga RM3,855 atau 40 peratus daripada populasi tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, memiliki rumah. Guan Eng berkata demikian apabila ada unit-unit perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di negeri ini tidak dapat dijual kerana pembeli tidak boleh mendapatkan pinjaman perumahan.

“ Saya percaya kadar penolakan pinjaman oleh bank-bank komersial bukan sahaja di Pulau Pinang, malah seluruh Malaysia mencecah antara 60 hingga 70 peratus walaupun bagi rumah kos rendah berharga RM42,000.

“Bank Negara perlu mempertimbangkan semula syarat-syarat pinjaman perumahan khususnya bagi pembeli rumah pertama di bawah harga RM300,000.

“ Sama ada Kerajaan Persekutuan memperkenalkan semula DIBS bagi rumah di bawah harga RM300,000 atau Bank Negara perlu melonggarkan syarat-syarat pinjaman bagi membolehkan golongan B40 membeli unit-unit kos rendah,” ucapnya pada Persidangan Antarabangsa Harta Tanah Pulau Pinang (PIP) 2017 di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah memberitahu, isu utama yang berlegar-legar dalam pasaran harta tanah adalah ketidakupayaan pembeli rumah kos rendah mendapatkan pinjaman.

“Syarat-syarat yang dikenakan oleh Bank Negara terlalu ketat dan menyukarkan golongan B40 mendapatkan pinjaman perumahan walaupun kita (Kerajaan Negeri) menurunkan harga sehingga 30 peratus bagi rumah kos rendah RM42,000…itupun tidak terjual,” ujarnya yang mahu Kerajaan Pusat menilai semula pasaran harta tanah kini.

Jelasnya, cadangan Kerajaan Pusat untuk menaikkan harga harta tanah kos rendah dan kos sederhana seluruh negara adalah tidak munasabah selagi Bank Negara tidak melonggarkan syarat pinjaman dan DIBS yang dimansuhkan di bawah Bajet 2014 diperkenalkan semula.

Dalam pada itu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyatakan bahawa masih terdapat unit-unit kos rendah yang tidak terjual di Pulau Pinang.

“Saya tidak mempunyai jumlah angka yang tepat, tetapi bilangan rumah kos rendah yang tidak terjual cukup banyak, misalnya di Seberang Perai Selatan (SPS), ada satu projek perumahan kos rendah, lebih daripada 50 peratus unit yang ditawarkan tidak terjual.

“(Dan) seperti Ketua Menteri cakapkan, sekiranya kadar penolakan pinjaman perumahan rendah, rumah-rumah kos rendah ini akan berpenghuni,” jelasnya yang turut membentangkan isu semasa, cabaran dan prospek harta tanah mampu milik di Pulau Pinang.

PIP 2017 merupakan persidangan tahunan yang diadakan sejak tahun 2015 bagi membolehkan Kerajaan Negeri, para pemaju dan stakeholder membincangkan  isu – isu membabitkan perumahan dan pasaran harta tanah di Pulau Pinang.