Sumbangan harap rencana pembangunan akar umbi bola sepak negeri

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy masing-masing menyumbangkan RM5,000 kepada Liga Akademi Bola Sepak Pulau Pinang (LABPP) dalam merencana pembangunan akar umbi sukan tersebut.

LABPP pada majlis penyampaian tersebut turut menerima sumbangan RM5,000 dari Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP). Mohd. Rashid ketika berucap menyatakan harapan agar LABPP menjadi penjana pemain-pemain masa depan bagi arena sukan bola sepak Pulau Pinang.

“Diharap bola sepak di Pulau Pinang pada masa hadapan mampu menjadi masyhur setanding sukan badminton,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada LABPP di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden LABPP, Yusri Abd. Hamid dan Naib Presiden FAP, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff. Ramasamy dalam pada itu turut melahirkan harapan agar kegemilangan bola sepak Pulau Pinang dapat dikembalikan sebagaimana zaman 1970-an.

“Pada era tersebut, kita tidak terlalu bergantung kepada tenaga pemain  import dalam memperkuatkan pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Yusri, LABPP ditubuhkan pada 2015 untk mencungkil bakat dari akar umbi hingga peringkat remaja bagi sukan bola sepak.

“LABPP yang disertai tujuh persatuan bola sepak dan 700 pemain terdiri daripada pelbagai kaum s erta peringkat usia berfungsi sebagai medan melahirkan pemain-pemain profesional masa hadapan.

“Kami meletakkan standard yang tinggi dalam soal latihan, kejurulatihan bagi memastikan pemain remaja dan kanak-kanak ini mendapat pendedahan yang betul serta berkesan,” jelasnya.