Penantian 23 tahun berakhir, Pangsapuri Century berseri semula

Gambar : ALISSALA THIAN

BATU UBAN – Penantian penduduk selama 23 tahun untuk melihat kediaman mereka berseri semula kini berakhir apabila Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengecat semula Blok 38, Pangsapuri Century di sini.

Kerja-kerja mengecat semula blok bangunan sembilan tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 April ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM153,600.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika hadir pada perasmian mula kerja pengecatan semula inisiatif berkaitan berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selaku pengurus projek melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), meskipun blok bangunan berkaitan milikan swasta.

“Sejak dibina pada tahun 1993, bangunan Pangsapuri Century ini tidak pernah dicat semula sehinggakan ia nampak usang dan tidak cantik.

“Berbanding Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini yang prihatin terhadap keperluan dan masalah rakyat, tampil merealisasikan impian penduduk yang menunggu lebih 23 tahun untuk memberi ‘nafas’ baru kepada penghuni di 143 unit kediaman di sini.

“Meskipun dibina oleh pihak swasta, Kerajaan Negeri tetap menghulurkan bantuan dana… mencerminkan kita (Kerajaan Negeri) jaga kepentingan rakyat dan membantu rakyat menyelesaikan masalah seberapa yang boleh,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Century, K. Sangar.

Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar turut hadir pada perasmian mula kerja itu.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, kerja-kerja pengecatan semula tersebut telah ditawarkan kepada syarikat Intrusa Global Enterprise melalui panggilan tender terbuka oleh PDC dan kerja-kerja awal telah dimulakan sejak 1 Mac lalu.

“Kejayaan melaksanakan kerja-kerja mengecat semula ini tidak akan berjaya sekiranya tidak wujud hubungan dan kerjasama erat antara penduduk dengan Kerajaan Negeri.

“Sebab itu, 80 peratus kos pengecatan semula ini disumbangkan oleh Kerajaan Negeri dan 20 peratus lagi melalui Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Century sendiri.

“Saya yakin, selepas kerja-kerja pengecatan semula ini siap kelak, bukan sahaja Blok 38 berwajah baru, lebih cantik, malah ia juga akan menambah nilai hartanah Pangsapuri Century,” ujarnya yang turut meluangkan masa meninjau kawasan sekitar dekat sini.

Difahamkan, projek pengecatan semula tersebut dilaksanakan melalui perkongsian dana iaitu RM70,600 daripada peruntukan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan (RM20,000), masing-masing daripada Mohd. Rashid dan Tze Tzin (RM16,500), manakala baki 19.5 peratus atau RM30,000 melalui Perbadanan Pengurusan Taman Century.