P. Pinang had 10 tahun pindah milik rumah – KM

GEORGE TOWN – Rumah kos rendah dan sederhana rendah yang dibina kerajaan dilarang pindah milik dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh perjanjian jual beli dilakukan, manakala, larang sama untuk rumah dibina pihak swasta dilanjutkan daripada tempoh lima tahun kepada 10 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu demi memastikan penjualan rumah dalam tempoh 10 tahun tersebut adalah kepada pembeli tersenarai (listed buyer).

Menurut beliau, Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPECS) ditubuhkan sejak bulan Jun lepas bagi memastikan proses pengagihan rumah kos rendah (KR) dan rumah kos sederhana rendah (KSR) dibuat secara adil dan telus.

“Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia sebuah syarikat perakuan akan dilantik untuk tujuan sedemikian,” ujarnya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Berkenaan perumahan kategori rumah mampu milik pula, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa harga maksima perumahan di Pulau Pinang ditetapkan pada RM400,000, manakala, harga maksimum RM250,000 bagi hartanah serupa di Seberang Perai.

“Seseorang pembeli rumah mampu milik tidak dibenarkan memiliki rumah sebelum ini.

“Unit (rumah) mampu milik boleh dibeli oleh pemilik KS dan KSR sebagai penaiktarfan dengan syarat menjual rumah asalnya.

“Dengan erti kata lain, hanya satu unit perumahan mampu milik dibenarkan dimiliki oleh seseorang pada bila-bila masa,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.