P. Pinang hasilkan cendekiawan pelapis muda negara

CEMERLANG... Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan khas kepada tiga pelajar, guru penasihat dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia apabila muncul juara di dalam Pertandingan Paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia, ‘Innovative Solutions For Everyday Life’  peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 20 – 21 Jun 2011.
CEMERLANG… Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan khas kepada tiga pelajar, guru penasihat dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia apabila muncul juara di dalam Pertandingan Paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia, ‘Innovative Solutions For Everyday Life’ peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 20 – 21 Jun 2011.

 

Oleh: ZULIANA AZIZ
Gambar: CHAN LILIAN

GEORGE TOWN – Sentiasa tanpa mengira warna kulit, latar belakang dan agama, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengiktiraf para pelapis cendekiawan muda negara yang telah mempamerkan reputasi cemerlang.

Terbaru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng telah memberi sumbangan penghargaan kepada tiga pelajar Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang muncul johan di dalam pertandingan Paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia, ‘Innovative Solutions For Everyday Life’ peringkat kebangsaan.

Program berkenaan adalah anjuran bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Dunia, Perbadanan Harta Intelek Korea dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pelajar-pelajar cemerlang terbabit adalah Muhammad Mukhlis Anas Eshamuddin, 15, Muham-mad Haziem Aieman Hanafi, 15, dan Muhammad Hifny Hizam, 15, masing-masing menerima hadiah penghargaan sebanyak RM200 berserta sijil penghargaan dari Kerajaan Negeri. Turut menerima sijil penghargaan adalah Mohd. Hafeez Azman selaku guru penasihat.

Menurut Mohd. Hafeez, ilham projek ‘Once Thrown, Now A Thrown: Empty Fruit Bunches (EFB) As An Alternative To Environmental Problem’ diperoleh hasil perbincangan semasa mengadakan perjumpaan Kelab Sains, Matematik dan Rekacipta di sekolah pada setiap minggu di samping persekitaran sekolah yang dikelilingi oleh ladang kelapa sawit.

“Projek ini menggunakan bahan terpakai seperti hampas kelapa sawit yang telah melalui proses pengekstrakan minyak dan digabungkan dengan getah terpakai untuk diinovasikan menjadi satu projek penyerapan minyak. Ia boleh berfungsi di air mahupun darat dan boleh menyerap apa sahaja jenis minyak termasuk minyak masak. Fungsi utama adalah untuk menyerap tumpahan minyak di laut tetapi aplikasi bahan ini sebenarnya lebih luas daripada yang dijangka,” kata beliau lagi.

Susulan itu, pihak sekolah terbabit juga telah mengadakan perbincangan bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal bagi mendapat khidmat nasihat sebelum menjalankan projek tersebut.

Pertandingan ini telah disertai oleh 15 buah Institut Pendidikan di mana hanya dua buah sekolah menengah sahaja yang menyertai berbanding 13 institusi pengajian tinggi (IPT) dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah terpilih sebagai johan pertandingan.

“Saya bercita-cita menjadi seorang Jurutera dan saya memang meminati bidang ‘Research and Development’ (RND). Mela-lui RND, saya berpeluang mengaplikasi teori dan amali dalam bidang yang saya ceburi,” ujar Muhammad Mukhlis ketika ditemubual oleh pihak Buletin Mutiara mengenai minat dan bagaimana terdetik hati untuk menyertai projek ini.

Sementara itu, Muhammad Haziem berkata, beliau ingin mencari jalan penyelesaian ekoran dunia kini mengalami pemanasan global dan pencemaran yang semakin membimbangkan.

“Melalui pertandingan ini, saya sedikit sebanyak dapat mencari jalan penyelesaian mengenai isu ini dan berpeluang mengeksploitasi bidang RND,” kata beliau yang bercita-cita menjadi seorang ahli usahawan yang berjaya suatu hari nanti.

“Saya memang meminati bidang sains dan teknologi. Mungkin kerana ibu bapa saya bekerja sebagai jurutera. Sedikit sebanyak minat tersebut timbul dalam diri saya sejak kecil lagi,” ujar Muhammad Hifny.

Ditanya mengenai perancangan pada masa hadapan, guru penasihat menyatakan hasrat ingin merekacipta satu produk iaitu kapal terbang yang
boleh dikawal (control). Beliau ingin menjadi perintis kepada sekolah-sekolah di Malaysia dengan usahasama sekolah-sekolah di Thailand.

“Saya amat berbangga dengan pelajar-pelajar saya ekoran pencapaian ini,” ujar Mohd. Hafeez lagi.