Sungai Pinnag diberi penarafan empat bintang

Admin

 

KETUA Menteri menanam pokok sebagai simbolik dalam menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia.
KETUA Menteri menanam pokok sebagai simbolik dalam menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia.

 

 

 

GEORGE TOWN – Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia, satu program berkaitan kesedaran alam sekitar dan pengurusan sungai telah dianjurkan pada bulan Julai, baru-baru ini.

Majlis Pelancaran Sungai Pinang River Care Programme dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan HSBC Bank Malaysia Berhad dan Global Environment Centre (GEC) dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPS) serta lain-lain agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pulau Pinang, CENCED dan Water Watch Penang.

Program yang bertujuan mewujud dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menguruskan sumber-sumber agensi berkaitan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Umumnya kita tahu Sungai Pinang pernah dikategorikan sebagai salah satu sungai yang paling tercemar di Malaysia. Sungai dengan panjang 3.1 km ini mempunyai enam cabang sungai utama yang mengalir masuk ke Sungai Pinang iaitu Sungai Dondang, Sungai Air Itam, Sungai Air Putih, Sungai Air Terjun, Sungai Jelutong dan Sungai Kecil yang secara tidak langsung menyebabkan pencemaran kepada Sungai Pinang.

Namun melalui hasil kerja keras daripada semua pihak bagi memastikan tahap kebersihan sungai itu, Sungai Pinang telah berjaya terkeluar daripada 10 sungai yang paling kotor dan tercemar di Malaysia yang diletak di bawah kelas V. Ini adalah berdasarkan kepada Laporan Tahunan Alam Sekitar tahun 2009 oleh JPS Malaysia. Sungai Pinang telah diberi penarafan empat bintang menerusi Program 1 Negeri 1 Sungai (1N1S) walaupun Indeks Kualiti Air (WQI) berada di tahap sederhana iaitu Kelas III,” ujar beliau.

Beliau juga berharap agar orang ramai memberikan kerjasama penuh agar segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri PR dapat terus bertahan dan bertambah baik. Kerajaan Negeri PR juga berharap agar program ‘river care’ sebegini dapat diteruskan untuk sungai-sungai lain di Pulau Pinang.

Sungaiku Hidupku, Bersama Kita Pelihara.