P.Pinang saing Singapura bekal ikan hiasan dunia

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYAKerajaan Negeri Pulau Pinang mampu memecah dominasi Singapura sebagai jaguh pembekal ikan hiasan dunia dengan sokongan sektor swasta, kata Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Kata Ketua Menteri lagi, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) seluas 85 ekar dibangunkan oleh Kerajaan Negeri di Juru, Seberang Perai Tengah demi merealisasikan impian tersebut.

“TKPM Juru merupakan satu mod e l p e r t a n i a n b a r u mengintegrasikan tanaman nanas dan cendawan, ternakan ikan, udang, ayam dan ikan hiasan yang berbeza dari TKPM di negeri-negeri lain yang menfokuskan pada subsektor tertentu sahaja.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat kuarantin ikan dan tanaman aktik di TKPM Juru dengan melibatkan penyertaan sektor swasta bagi merebut kembali pasaran ikan hiasan yang selama ini didominasi oleh negara jiran, Singapura,” ujar beliau baru-baru ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Law Chow Kiang (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Air) turut berucap dalam Majlis Hari Penternak, Peladang, Nelayan dan Karnival Koperasi 2012 (HPPN & KK 2012) berkenaan.

Majlis keraian selama empat hari bermula 24 Jun itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas serta isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Konsulat dari Jepun dan Indonesia serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Pulau Pinang turut hadir sebagai dif kehormat dalam majlis tersebut.

Difahamkan, 95 peratus kawasan TKPM telahpun menerima penyertaan dan Kerajaan Negeri mensasarkan 100 peratus penyertaan menjelang penghujung tahun ini. Pulau Pinang merupakan pengeluar utama ikan hiasan spesis “Discus” dalam pasaran dunia.

Pada tahun 2011 sahaja, sebanyak 400,000 ekor ikan hiasan dari pelbagai jenis berjaya dihasilkan dengan dengan nilai RM3.2 juta.

Manakala, sehingga penghujung tahun ini, sasaran Kerajaan Negeri adalah meningkatkan hasil pengeluaran ikan hiasan pada 600,000 ekor dengan nilai pasaran kira-kira RM5 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pertubuhan penternak, peladang, nelayan serta penggiat koperasi yang berjaya diiktiraf dan menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri.

PENERIMA-penerima hadiah penghargaan daripada Kerajaan Negeri bergambar kenang-kenangan pada Majlis Sambutan HPPN & KK 2012 di sini baru-baru ini.
PENERIMA-penerima hadiah penghargaan daripada Kerajaan
Negeri bergambar kenang-kenangan pada Majlis Sambutan
HPPN & KK 2012 di sini baru-baru ini.