P. Pinang sebagai destinasi MICE menjelang 2021

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mampu dibangunkan sebagai sebuah destinasi pilihan bagi pelbagai acara dan kegiatan perniagaan di peringkat global menjelang 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini bukan sahaja menumpukan ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, malah turut menekankan tiga strategi tonggak utama yang menggerakkan negeri ke arah destinasi pilihan perniagaan global pada masa hadapan.

“Pertamanya, kita (Kerajaan Negeri) membangunkan infrastruktur awam untuk tujuan hospitaliti bagi memastikan kelancaran kegiatan perniagaan termasuk penyediaan fasiliti untuk perkhidmatan.

“Keduanya, pembangunan infrastruktur fizikal seperti penyediaan pusat konvensyen dan perniagaan bagi sektor MICE (persidangan, insentif, konvensyen dan pameran).

“(Dan) ketiga, sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan efisien termasuk jalan raya yang menghubungkan pusat konvensyen dan perniagaan.

“Ketiga-tiga strategi ini adalah untuk melihat Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi konvensyen, pameran dan perniagaan,” ucapnya pada perasmian BE @Penang 2016 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), G. Ashwin dan wakil Malaysian Association of Hotels (MAH), Tony Goh.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri kini giat menyempurnakan pusat konvensyen bertaraf dunia, Subterranean Penang International Convention and Exhibition (SPICE) yang terletak di Bayan Baru

. “Pusat konvensyen yang menelan kos RM300 juta itu bakal siap sepenuhnya menjelang Mac 2017, walaupun masih belum disempurnakan, SPICE sudahpun menerima tempahan penuh untuk tahun hadapan.

“(Dan) satu lagi pusat konvensyen dan pameran pesisir pantai akan siap menjelang tahun 2021 bagi menampung keperluan dan permintaan industri di negeri ini,” jelasnya.

BE @Penang 2016 merupakan inisiatif PCEB dan Kerajaan Negeri untuk menjadi pemangkin bagi memanfaatkan usaha kolektif yang dilaksanakan pemain industri dan negeri dalam memastikan Pulau Pinang sentiasa berdaya saing dan maju.